Ringgit antara mata wang berpotensi mengukuh paling pantas - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit antara mata wang berpotensi mengukuh paling pantas


KUALA LUMPUR: Ringgit berpotensi mengukuh lebih pantas berbanding mata wang baharu muncul lain sebaik sahaja situasi global berubah memandangkan ia antara mata wang yang berada di bawah nilai pada enam bulan pertama tahun ini, demikian menurut penganalisis.

Prospek ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dijangka positif menjelang suku keempat tahun ini susulan tinjauan stabil pertumbuhan ekonomi China dan pendirian Rizab Persekutuan (Fed) AS yang kurang agresif terhadap kenaikan kadar faedahnya.

Ia terbukti apabila ringgit mengukuh secara pantas ke paras RM4.52 sedolar pada awal minggu ini berbanding RM4.66 seminggu sebelumnya, didorong kemerosotan mendadak dolar AS susulan inflasi AS pada Jun meningkat lebih perlahan 3.0 peratus, paling rendah sejak Mac 2021.

Ketua Penyelidik Ekuiti Malaysia dan Serantau Maybank Investment Bank Group (Maybank IBG), Anand Pathmakanthan, berkata pasukan tukaran asing melihat prospek ringgit yang positif, terutama menjelang suku keempat 2023 apabila tinjauan stabil pertumbuhan China, termasuk mata wangnya dan naratif kurang agresif Fed AS.

Beliau berkata, memandangkan kitaran menaik kadar faedah oleh Fed menghampiri kemuncaknya dan inflasi AS dijangka terus menurun pada separuh kedua 2023, perkembangan itu mengekang pengukuhan mata wang negara maju itu

Katanya, ekonomi China pula dijangka menunjukkan pemulihan yang lebih ketara menjelang suku keempat 2023, dijangka meningkatkan minat terhadap aset pasaran baharu muncul serantau.

"Melihat kepada Kadar Pertukaran Efektif Benar (REER) ringgit, kami melihat skor-Z negatif dan ia (ringgit) adalah yang ketiga paling berada di bawa nilai di rantau ini, selepas won dan yen.

"Ini menyokong ringgit melihat kenaikan yang lebih pantas berbanding mata wang baharu muncul lain sebaik saja situasi global berubah.

"Oleh itu, kami terus menjangkakan ringgit berbanding dolar mengukuh mencecah RM4.50 menjelang akhir tahun," katanya dalam nota penyelidikannya.

Mengenai prestasi pasaran saham, Pathmakanthan berkata, pihaknya optimistik dengan berhati-hati mengenai kemajuan pasaran yang lebih baik separuh kedua 2023 walaupun panduan pendapatan bercampur-campur.

Beliau berkata, selain kadar faedah yang memuncak, Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Belanjawan 2024 akan datang boleh mengejutkan pasaran secara positif.

Katanya, sektor wajaran tinggi seperti perbankan dan perladangan mempunyai ruang untuk kembali berprestasi lebih baik.

"Tambahan pula, inisiatif dan sasaran kemampanan yang dipertingkatkan memberi petanda baik bagi sektor seperti automotif dengan tumpuannya kepada kenderaan elektrik (EV) dan infrastruktur serta utiliti/boleh diperbaharui," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini