Ringgit ditutup rendah diasak jangkaan AS naikkan kadar - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah diasak jangkaan AS naikkan kadar


KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri urus niaga minggu ini dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, diasak kebimbangan mengenai kemungkinan Rizab Persekutuan AS (Fed) menaikkan kadar faedah, kata ahli ekonomi.

Pada 6 petang, ringgit susut ke paras 4.6655/6675 berbanding dolar AS daripada 4.6580/6630, semalam.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data terbaharu Perubahan Pekerjaan Bukan Perladangan ADP bagi Jun yang mencatat angka lebih tinggi, mengukuhkan lagi pandangan bahawa pihak bank pusat AS itu tidak akan melonggarkan pendiriannya untuk menaikkan kadar faedah.

"Oleh itu, data penggajian bukan perladangan yang dijangka diumumkan pada lewat hari ini, akan terus dipantau oleh penggiat pasaran (bagi mendapatkan petunjuk seterusnya)," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit turut diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan itu rendah berbanding euro kepada 5.0765/0787 daripada 5.0600/0654; turun berbanding yen Jepun kepada 3.2601/2617 daripada 3.2323/2359 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.9466/9492 daripada 5.9310/9374, semalam.

Ringgit bagaimanapun mencatat prestasi bercampur-campur berbanding mata wang Asean iaitu rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.4511/4528 daripada 3.4458/4497 serta tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.39/8.39.

Namun, ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 308.08/308.3 daripada 309.3/309.8 semalam dan naik berbanding baht Thailand kepada 13.2471/2588 daripada 13.2881/3088. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini