Ringgit kekal di paras RM4.66 sedolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kekal di paras RM4.66 sedolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup hampir tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin berikutan kekurangan permintaan dan penurunan harga minyak.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.6685/6725 berbanding dolar AS daripada 4.6655/6675 pada Jumaat lalu.

Ketua Ekonomi dan Ketua Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit kekal lemah hari ini walaupun data senarai gaji bukan ladang (NFP) AS yang diterbitkan Jumaat lalu lebih lemah daripada jangkaan.

Beliau berkata, Indeks Harga Pengguna (IHP) China tidak berubah pada Jun tahun ke tahun, paras terendah sejak Februari 2021, menunjukkan bahawa ekonomi kedua terbesar dunia itu akan mempunyai lebih banyak ruang untuk menggunakan dasar monetari bagi menyokong ekonomi.

"Ini akan meningkatkan lagi daya tarikan dolar AS kerana kadar faedah AS dijangka kekal tinggi berbanding bank-bank pusat utama lain di seluruh dunia," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata peniaga tukaran asing di Asia kekal berhati-hati untuk menjual dolar AS menjelang IHP AS minggu ini, kerana kebimbangan yang terus membelenggu boleh menyokong dolar AS.

Rizab Persekutuan (Fed) juga menggunakan kadar faedah yang lebih tinggi bagi meredakan inflasi.

"Oleh itu, mereka tetap enggan menjual pegangan dolar AS mereka sehingga Fed memberi isyarat jeda definitif mengenai kadar faedah," katanya.

Ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama pada penutup hari ini.

Ia susut berbanding euro kepada 5.1176/1220 daripada 5.0765/0787 pada penutup Jumaat, jatuh berbanding yen kepada 3.2761/2792 daripada 3.2601/2617 dan lemah berbanding pound kepada 5.9785/9836 daripada 5.9466/9492.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4612/4644 daripada 3.4511/4528 pada penutup Jumaat dan lemah berbanding baht Thailand kepada 13.2790/2961 daripada 13.2471/2588.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 306.9/307.4 daripada 308.0/308.3 dan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.38/8.39 daripada 8.39/8.39. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini