Ringgit meningkat berbanding dolar AS dalam dagangan awal - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit meningkat berbanding dolar AS dalam dagangan awal


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan permintaan untuk mata wang tempatan bertambah baik dalam persekitaran sentimen pasaran yang bercampur-campur.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.5590/5630 berbanding dolar AS daripada 4.5615/5650 pada Selasa.

Seorang peniaga berkata sentimen pasaran dipengaruhi oleh prospek lebih banyak rangsangan dasar di China dan pengumuman kadar faedah oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) yang akan datang.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama bahawa beliau menjangka ringgit akan diniagakan dalam jajaran kecil hari ini berikutan pasaran menunggu keputusan FOMC malam ini.

Beliau berkata data terkini menunjukkan Keyakinan Pengguna Lembaga Persidangan AS meningkat kepada 117 mata pada Julai, mengatasi anggaran konsensus sebanyak 112 mata.

"Ini menunjukkan perbelanjaan pengguna dijangka kekal baik, justeru, terdapat risiko bahawa Rizab Persekutuan AS mungkin mengekalkan pendirian mengehadkannya.

"Bagaimanapun, sentimen perniagaan – terutamanya dalam sektor pembuatan – menunjukkan bahawa mereka berhati-hati mengenai prospek ekonomi yang mungkin memberi impak kepada keputusan pengambilan pekerja mereka.

"Oleh itu, keputusan FOMC pada malam ini adalah penting berikutan pasaran mahu melihat penilaian terkini oleh Fed mengenai keadaan ekonomi," katanya.

Mohd Afzanizam berkata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menaikkan unjuran pertumbuhan global 2023 kepada 3.0 peratus daripada 2.8 peratus sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya IMF kekal berhati-hati berikutan imbangan risiko masih cenderung kepada penurunan, dengan keadaan global yang tegang menjejaskan aktiviti ekonomi.

"Sehubungan itu, ringgit dijangka kekal pada julatnya antara RM4.56 dan RM4.57 manakala paras sokongan dan paras halangan, masing-masing pada RM4.54 dan RM4.62," katanya.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 5.0345/0389 daripada 5.0368/0407 pada Selasa, bagaimanapun merosot berbanding pound kepada 5.8729/8781 daripada 5.8547/8592 semalam dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.2317/2348 daripada 3.2266/2293 sebelum ini.

Pada masa yang sama, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4304/4337 daripada 3.4325/4354 pada Selasa, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 303.9/304.4 daripada 304.0/304.5 semalam dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 8.34/8.36 daripada 8.36/8.37 sebelum ini.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding baht Thailand kepada 13.2202/2376 daripada 13.2148/2300 semalam. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini