Ringgit semakin kukuh kepada RM4.54 sedolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit semakin kukuh kepada RM4.54 sedolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Rabu, dipacu oleh laporan positif Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menaikkan unjuran ekonomi global bagi 2023, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit berada di paras 4.5470/5505 berbanding dolar AS daripada 4.5615/5650, semalam.

IMF bertindak menaikkan unjuran pertumbuhan global sebanyak 0.2 peratus yang meletakkan ekonomi dunia di landasan untuk berkembang pada 3.0 peratus tahun ini daripada unjuran sebelumnya, April lalu.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, menyifatkan unjuran terkini IMF itu sebagai berita baik untuk pengeksport Asia, termasuk di Malaysia selain memberi prospek serantau lebih baik bagi meredakan kebimbangan berkaitan ekonomi.

Selain itu, Innes berkata pasaran juga berkemungkinan menjangkakan penurunan kadar faedah apabila inflasi kini dilihat lebih stabil.

"Secara keseluruhannya, perkembangan ini baik untuk ringgit dan menyuntik kesan positif apabila pelabur lebih yakin untuk membeli aset-aset Malaysia," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata semua pihak akan memberi tumpuan ke atas keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) pada malam ini.

"Sebarang petunjuk yang memaparkan pendirian lebih menyederhana adalah positif untuk mata wang negara sedang pesat membangun, termasuk ringgit," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 5.0353/0392 daripada 5.0368/0407 pada akhir urus niaga Selasa namun susut berbanding pound Britain kepada 5.8715/8761 daripada 5.8547/8592 semalam dan rendah berbanding yen Jepun pada 3.2402/2429 daripada 3.2266/2293, sebelum ini.

Ringgit bagaimanapun mencatat prestasi mengukuh berbanding mata wang ASEAN, termasuk meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4265/4297 daripada 3.4325/4354.

Unit tempatan itu juga meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 302.6/303.0 daripada 304.0/304.5 dan naik berbanding peso Filipina kepada 8.32/8.33 daripada 8.36/8.37, sebelumnya.

Namun, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 13.2747/2904 daripada 13.2148/2300, semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini