Ringgit naik tinggi hari kedua berturut-turut berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit naik tinggi hari kedua berturut-turut berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit berbanding dolar AS catat kenaikan tinggi hari kedua berturut, apabila mata wang tempatan itu catat kenaikan 1.42 peratus kepada 4.52.

Ia setelah ia melonjak 1.31 peratus untuk ditutup pada 4.5870 semalam.

Secara keseluruhannya, nilai ringgit berbanding dolar telah pulih hampir 3.0 peratus dalam tempoh dua hari.

Situasi inflasi Amerika Syarikat (AS) yang rendah iaitu pada 3.0 peratus, mengurangkan kebimbangan mengenai kenaikan kadar faedah untuk tempoh selanjutnya. Malah jika kadar berkenaan kekal, terdapat kemungkinan bank pusat AS menurunkan semula kadar faedahnya.

Indeks harga pengeluar (IHPR) Amerika Syarikat (AS) bulan Jun yang lebih rendah telah mendorong nilai ringgit untuk terus mengukuh berbanding dolar AS pada sesi pembukaan urus niaga pagi ini, kata seorang penganalisis yang dipetik Bernama.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dolar AS kekal dalam mod lemah dengan indeks dolar AS (DXY) berlegar di bawah 100 mata.

"Pada masa yang sama, eksport China merosot dengan ketara daripada jangkaan kepada -12.4 peratus tahun ke tahun berbanding jangkaan -9.5 peratus dan import turun kepada -6.8 peratus berbanding anggaran konsensus -4.0 peratus," katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah ringgit akan terus mengukuh.

"Paras sokongan serta-merta kini berada pada RM4.5491 dan sekiranya USD/MYR menembusi paras sedemikian, paras sokongan seterusnya ialah pada RM4.4872," katanya.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Pada awal dagangan hari ini, mata wang tempatan meningat berbanding yen Jepun kepada 3.2998/3040 daripada 3.3069/3103 pada penutupan Khamis, mengukuh berbanding euro kepada 5.0976/1038 daripada 5.1168/1218 semalam dan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.9593/5.9665 daripada 5.9861/9919 sebelumnya.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit turut diniagakan tinggi.

Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4374/4421 daripada penutupan dagangan Khamis 3.4553/4590 serta mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 303.4/304.0 daripada 305.9/306.4 sebelumnya.

Ringgit turut menambah nilai berbanding baht Thai kepada 13.1362/1578 daripada 13.2481/2673 semalam dan menokok berbanding peso Filipina kepada 8.34/8.36 daripada 8.40/8.41 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini