Nilai ringgit kembali kukuh pada suku ketiga - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Nilai ringgit kembali kukuh pada suku ketiga


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit kembali mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sebanyak 1.1 peratus dalam tempoh suku ketiga sehingga 15 Ogos lalu, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.

Beliau berkata, Kadar Pertukaran Efektif Nominal (NEER) yang mengukur prestasi ringgit berbanding rakan dagangan utama lain juga meningkat sebanyak 1.6 peratus.

Katanya, ia berikutan jangkaan pasaran secara keseluruhan bahawa langkah pengetatan dasar monetari di AS secara agresif dijangka hampir berakhir.

"Mencerminkan jangkaan pelabur terhadap pengetatan dasar monetari yang lebih agresif di AS dan ekonomi maju lain sepanjang separuh pertama tahun ini, ringgit menyusut sebanyak 4.7 peratus berbanding dolar AS.

"Walau bagaimanapun, baru-baru ini, ringgit mengukuh sebanyak 1.1 peratus berbanding dolar AS sejak suku kedua 2023. NEER yang mengukur prestasi ringgit berbanding rakan dagang utama juga mengukuh sebanyak 1.6 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama BNM dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengenai prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2023 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata, BNM akan terus memantau keadaan kewangan global serta domestik dengan teliti serta memastikan pelarasan pasaran kekal teratur.

Beliau berkata, kehadiran BNM dalam pasaran pertukaran asing adalah untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan.

Justeru, katanya, BNM akan terus mengurus risiko yang timbul daripada sebarang ketidaktentuan pasaran kewangan yang meningkat.

Sementara itu, Penolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid, berkata BNM mendapati penukaran hasil asing yang diperoleh pengeksport meningkat sehingga 69 peratus baru-baru ini, selepas berlaku pengurangan pada suku kedua lalu.

Beliau berkata, diperhatikan pada suku kedua, sesetengah pengeksport mengurangkan penukaran hasil asing mereka, namun ia meningkat semula menjelang akhir separuh pertama.

"Data terkini yang kami perhatikan mengenai penukaran pengeksport ialah kira-kira 69 peratus," katanya.

Adnan Zaylani berkata, pengeksport Malaysia dikehendaki menghantar pulang pendapatan asing mereka kembali ke negara ini dalam tempoh enam bulan, namun mereka tidak perlu menukarnya semula kepada ringgit.

Beliau berkata, pengeksport masih boleh memegangnya dalam mata wang asing jika mereka mahu berbuat demikian.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini