KUALA LUMPUR: Prestasi ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dijangka positif menuju ke hadapan berikutan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri seperti yang dijangkakan, demikian menurut penganalisis.
Susulan kemenangan gabungan Kerajaan Perpaduan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, adalah munasabah untuk menjangkakan bahawa ringgit mungkin akan mencerminkan trend sama disaksikan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akhir tahun lalu.
Penganalisis TA Securities, Farid Burhanuddin, berkata ringgit dilihat meningkat secara beransur-ansur dan kekal berdaya tahan setakat ini berbanding dolar AS meskipun berdepan persekitaran luaran dan situasi politik domestik yang tidak menentu sebelum ini.
Beliau berkata, walaupun berdepan persekitaran luaran mencabar seperti dasar monetari global yang ketat terutama oleh Rizab Persekutuan AS, kemerosotan harga komoditi dan pertumbuhan perlahan ekonomi China, ringgit kini berlegar sekitar antara RM4.55 hingga RM4.60 sedolar AS selepas mengukuh ke paras RM4.5078 sedolar AS pada 31 Julai 2023.
Katanya, walaupun berdepan persekitaran yang tidak menentu, ringgit mempamerkan daya tahan dengan meningkat secara beransur-ansur, setakat ini, terutama selepas mencecah paras psikologi yang ketara pada RM4.60 sedolar sejak 13 Julai 2023.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa pada 31 Julai 2023, mata wang tempatan itu mengukuh kepada RM4.5078 sedolar.
"Menuju ke separuh kedua tahun ini, dijangka berlaku pengukuhan ringgit yang konsisten dan beransur-ansur berbanding dolar AS.
"Pada masa ini, kami kekal optimis mengunjurkan ringgit untuk mencapai paras RM4.30 hingga RM4.40 berbanding dolar AS menjelang akhir Disember 2023. Justeru, ia menjadikan paras purata sekitar RM4.40 sedolar AS," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Farid berkata, keyakinan akan timbul daripada pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan, termasuk Belanjawan 2024, semakan semula Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
"Langkah-langkah ini akan memacu keyakinan dalam kalangan peserta pasaran, memandangkan iklim politik Malaysia kebiasaannya mempunyai pengaruh yang besar terhadap prestasi mata wang.
"Tambahan lagi, kestabilan politik di negara ini dikembalikan selepas PRN berakhir seperti dijangkakan dengan status quo dikekalkan," katanya,
Beliau menambah, Kerangka Ekonomi MADANI pula mencerahkan prospek untuk pelabur memasuki semula pasaran saham tempatan.
"Pelancarannya pada 27 Julai lalu menarik perhatian besar daripada pelabur asing, membolehkan aliran masuk asing sebanyak RM623 juta dalam masa hanya tiga hari," katanya.
Farid berkata, setakat 11 Ogos 2023, ringgit hanya melemah sebanyak 4.01 peratus berbanding dolar AS kepada RM4.588 sedolar AS berbanding RM4.4045 sedolar AS pada akhir 2022.
Beliau berkata, berbanding mata wang global lain, susut nilai ringgit paling ketara adalah berbanding rupiah, apabila merosot sebanyak 6.60 peratus setakat tahun ini.
Katanya, mata wang tempatan itu juga menyusut nilai berbanding euro sebanyak 6.55 peratus bagi tahun ini, rupee sebanyak 4.05 peratus dan dolar Hong Kong sebanyak 3.97 peratus.
"Walau bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding yen sebanyak 5.77 peratus, yuan sebanyak 0.73 peratus dan won sebanyak 0.47 peratus," katanya.