Ringgit merosot, ekonomi suku kedua dijangka lembap - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit merosot, ekonomi suku kedua dijangka lembap


KUALA LUMPUR: Ringgit merosot daripada kenaikan semalam untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis berikutan minit daripada Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS menunjukkan kadar faedah negara itu kekal tinggi untuk tempoh lebih lama, kata seorang ahli ekonomi.

Jangkaan kelembapan untuk pertumbuhan ekonomi suku kedua Malaysia dan cabaran pemulihan China terus menjejaskan sentimen.

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.6535/6550 berbanding dolar AS daripada 4.6265/6320 pada Rabu.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, memberitahu Bernama bahawa pasaran terus gelisah mengenai prospek dasar monetari AS berdasarkan petunjuk bercampur-campur daripada para pegawai FOMC.

"Sentimen menghindari risiko disebabkan ekonomi China (yang bergelut) turut menunjukkan permintaan terhadap dolar AS akan kekal utuh berikutan pelabur ingin mencari perlindungan daripada ketidaktentuan global," katanya.

Mohd Afzanizam berkata, pasaran akan memantau data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua Malaysia yang akan dikeluarkan esok, yang dijangka perlahan daripada 5.6 peratus kepada 3.3 peratus berdasarkan anggaran konsensus.

Ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia rendah berbanding yen Jepun kepada 3.1832/1846 daripada 3.1782/1822 pada Rabu, merosot berbanding euro kepada 5.0602/0618 daripada 5.0549/0609 dan berkurangan berbanding pound kepada 5.9211/9230 daripada 5.9020/9090 semalam.

Begitu juga, mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.4212/4228 daripada 3.4086/4132 pada Rabu dan merosot berbanding baht Thailand kepada 13.1306/1423 daripada 13.0777/0995 sebelum ini.

Ia berkurangan berbanding peso Filipina kepada 8.19/8.20 daripada 8.18/8.20 semalam dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 304.4/304.7 daripada 302.7/303.2 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini