Prospek ekonomi China dijangka beri kesan nilai ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Prospek ekonomi China dijangka beri kesan nilai ringgit


KUALA LUMPUR: Kemelut berterusan yang membayangi prospek ekonomi China pada masa ini diunjur akan turut mempengaruhi pasaran tukaran asing, termasuk mengheret ringgit dalam jajaran lebih kecil pada minggu depan, kata ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka kekal dalam jajaran antara RM4.63 dan RM4.65 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan minat pelabur terhadap mata wang negara maju itu dalam senario semasa yang tidak menentu.

Peserta pasaran juga akan memantau rapat reaksi kerajaan China apabila bank pusat negara itu, People's Bank of China (PBoC) membuat keputusan mengenai kadar faedah pada Isnin depan.

"Unjuran konsensus mengandaikan bahawa PBoC mungkin mengurangkan 15 mata asas lagi pada minggu depan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Kenanga Research dalam nota penyelidikannya berkata, peningkatan sentimen pesimis atau kurang yakin terhadap pemulihan ekonomi China berikutan kekurangan sokongan dalam bentuk rangsangan serta kesuraman ekonominya, berkemungkinan besar terus menjejaskan yuan yang hanya menambah tekanan terhadap ringgit.

"Namun, sebarang langkah penetapan PBoC yang lebih kukuh daripada jangkaan serta campur tangan berterusan oleh bank-bank milik negara itu akan membantu dari segi mengehadkan susut nilai yuan," katanya.

Dalam pada itu di peringkat tempatan, Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan bahawa ekonomi negara tumbuh 2.9 peratus pada suku kedua 2023, sekali gus menjadikan purata pertumbuhan bagi separuh pertama tahun ini kepada 4.25 peratus.

Sebagai perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit mencatat prestasi lebih rendah berbanding dolar AS pada 4.6465/6510 daripada 4.5865/5895 pada minggu sebelumnya.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Unit tempatan itu rendah berbanding pound Britain kepada 5.9131/9189 daripada 5.8230/8268 sebelumnya, turun berbanding euro kepada 5.0503/0552 daripada 5.0351/0384 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.1926/1959 daripada 3.1712/1735.

Prestasi sama juga dialami ringgit berbanding mata wang ASEAN iaitu rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.4228/4264 daripada 3.3967/3991 seminggu sebelumnya serta susut berbanding rupiah Indonesia kepada 3.93/304.2 daripada 301.3/301.6.

Ringgit juga rendah berbanding baht Thailand pada 13.1331/1510 daripada 13.0737/0871 serta susut berbanding peso Filipina kepada 8.27/8.28 daripada 8.14/8.15 pada Jumaat minggu lepas.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini