Ringgit lebih baik berbanding mata wang serantau sejak Jun - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Ringgit lebih baik berbanding mata wang serantau sejak Jun


KUALA LUMPUR: Penjelasan lanjut mengenai hala tuju kadar faedah oleh bank-bank pusat utama dijangka memberikan sokongan kepada ringgit dan mata wang pasaran sedang pesat membangun pada masa hadapan, kata Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC).

Dalam laporan ringkasan mesyuarat 7 Ogos yang dikeluarkan hari ini, FMC berkata ringgit telah mengukuh sebanyak 2.5 peratus berbanding dolar AS sejak mesyuarat 19 Jun lalu dan didagangkan lebih baik berbanding mata wang serantau lain.

"Sentimen pasaran sekitar ringgit secara amnya bertambah baik. Peserta pasaran menjangka Rizab Persekutuan AS akan menghampiri penghujung kitaran kenaikan kadarnya berikutan tanda-tanda inflasi yang menyederhana selain usaha pihak berkuasa China yang terus membuat pelbagai langkah bagi merangsang pemulihan ekonominya," kata jawatankuasa itu.

FMC berkata, pemulihan sentimen pasaran dapat dilihat daripada minat asing yang kukuh dalam pasaran kewangan domestik.

"Bukan pemastautin meneruskan pembelian bon kerajaan Malaysia dengan peningkatan pegangan tahunan yang sehingga kini mencecah RM22.5 bilion menjelang akhir Jun," katanya.

FMC ketika mengulas mengenai pasaran ekuiti menjelaskan, pelabur bukan pemastautin merekodkan aliran masuk RM1.4 bilion pada Julai, pemulihan selepas menyaksikan aliran keluar 10 bulan berturut-turut dan menyumbang kepada prestasi kukuh FTSE Bursa Malaysia KLCI sebanyak 6.0 peratus.

Mesyuarat itu juga mengambil maklum respons positif daripada peserta pasaran mengenai kenyataan FMC pada Jun termasuk pengesahan semula daripada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk terus membendung turun naik atau susut nilai yang berlebihan melalui campur tangan dalam pasaran pertukaran asing.

"Untuk tujuan ini, mesyuarat itu juga mengesahkan kepentingan ringgit akan ditentukan oleh kuasa pasaran bagi membolehkan pelarasan berlaku sejajar dengan perkembangan global serta asas domestik," kata jawatankuasa berkenaan.

Memandangkan pengukuhan ringgit baru-baru ini, mesyuarat itu juga menyatakan bahawa beberapa pengeksport telah meningkatkan penukaran hasil eksport manakala pengimport terus menguruskan pembelian dan melindung nilai dolar US untuk keperluan perniagaan mereka.

"Namun begitu, ahli telah mengambil maklum usaha berterusan oleh bank dalam pesisir dalam melibatkan pelanggan korporat mereka mengenai strategi bagi mengurus baki mata wang asing mereka dengan lebih baik, berdasarkan peralihan dalam kadar faedah global serta tahap diskaun hadapan dolar AS pada kos lindung nilai," kata FMC.

Mengenai prospek pertumbuhan ekonomi, jawatankuasa itu positif dengan pengumuman baru-baru ini mengenai rangka kerja Ekonomi MADANI serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang berpotensi meningkatkan daya saing ekonomi, memudahkan peralihan kepada ekonomi yang lebih mampan dan menyediakan sokongan untuk prospek jangka panjang ringgit.

"Mesyuarat itu menekankan keperluan untuk komitmen berterusan dan pelaksanaan yang berkesan dalam memastikan kejayaan inisiatif ini," tambahnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini