Dagangan ringgit dibuka naik sedikit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit dibuka naik sedikit

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain apabila pelabur terus membuat unjuran Rizab Persekutuan AS (Fed) tidak akan menaikkan kadar faedah pada bermesyuarat yang akan diadakan minggu depan

Pada 9.05 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.6720/6770 berbanding dolar AS daripada penutup Isnin pada 4.6725/6760.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Rizab Persekutuan AS akan mengeluarkan unjuran suku tahunannya selepas mesyuarat pada 19 hingga 20 September.

"Unjuran itu akan memberikan lebih banyak pandangan tentang hala tuju dasar monetari masa depan untuk tempoh terdekat dan tahun depan. Walaupun Rizab Persekutuan mungkin mengekalkan pendirian semasa, sentimen pasaran masih kekal tidak menentu kali ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berpendapat, ringgit akan terus berlegar dalam julat RM4.66 hingga RM4.68 kepada dolar AS.

Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.8414/8477 daripada 5.8551/8595 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1852/1888 daripada 3.1855/1881 pada penutupan urus niaga Isnin.

Bagaimanapun, ringgit menyusut nilai berbanding euro kepada 5.0187/0240 daripada 5.0145/0183 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut diniagakan kebanyakan lebih kukuh berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4313/4354 daripada 3.4334/4362 pada penutupan dagangan Isnin, lebih tinggi berbanding baht Thai menjadi 13.1339/1528 daripada 13.1583/1755 dan agak tinggi berbanding peso Filipina pada 8.23/8.25 daripada 8.24/8.25.

Namun begitu, unit tempatan hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 304.7/305.2 daripada 304.7/305.1 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini