Ringgit meningkat sedikit berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit meningkat sedikit berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini disokong oleh data Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) terbaharu, kata penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan susut kepada 4.6725/6760 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6745/6795 pada Jumaat minggu lalu.

Ketua Ahli Ekonomi dan Ketua Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pasangan dolar AS/ringgit bergerak dalam jajaran ketat hari ini antara 4.672 hingga 4.6803, susulan data IPP Malaysia bagi Julai yang lebih tinggi daripada jangkaan pada 0.7 peratus.

Peningkatan yuan, selepas bank pusat China memberi amaran ia tidak akan bertoleransi dengan pergerakan berlebihan mata wang itu, juga membantu meningkatkan sentimen bagi ringgit.

Bagaimanapun, sentimen pasaran masih tidak menentu menjelang pengumuman data inflasi AS pada minggu ini, katanya.

Mohd Afzanizam berkata, pembentangan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12 2021-2025 pada hari ini menunjukkan kerajaan terus komited untuk mengekalkan defisit fiskal mengecil kepada antara 3.0 hingga 3.5 peratus menjelang 2025.

"Ini akan membantu menaikkan nilai ringgit kerana akan ada langkah-langkah untuk meningkatkan tabung kerajaan," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding euro kepada 5.0145/0183 daripada paras penutup 5.0031/0085 pada Jumaat minggu lalu, susut berbanding pound kepada 5.8551/8595 daripada 5.8352/8414 dan berkurangan berbanding yen kepada 3.1855/1881 daripada 3.1741/1777.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya kukuh berbanding mata wang negara-negara Asean.

Ia turun berbanding dolar Singapura kepada 3.4334/4362 daripada 3.4277/4312 tetapi naik sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 304.7/305.1 daripada 304.9/305.4, meningkat berbanding baht Thai kepada 13.1583/1755 daripada 13.1591/1787 dan naik sedikit berbanding peso Filipina kepada 8.24/8.25 daripada 8.25/8.26.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini