Mata wang Asia diasak kelemahan renminbi, kekuatan dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Mata wang Asia diasak kelemahan renminbi, kekuatan dolar AS


KUALA LUMPUR: Mata wang Asia berkemungkinan kekal berada di bawah tekanan dalam jangka terdekat, berikutan hubungan kuatnya dengan prestasi renminbi China dan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), kata Eastspring Investments.

Pengarah Penyelidikan Kreditnya, Clement Chong, berkata mata wang Asia secara umumnya saling berkait, sambil menyatakan bahawa tekanan penurunan ke atas mata wang China mungkin berterusan, berikutan keadaan semasa ekonomi negara itu.

"Sukar memilih (mana-mana) mata wang Asia yang menonjol. Kerajaan-kerajaan Asia memiliki akaun semasa yang lebih baik ketika ini, membolehkan mereka menyokong mata wang masing-masing dalam pasaran pertukaran asing," katanya pada webinar pakar Asia Eastspring Investments, hari ini.

Chong berkata, sepatutnya terdapat sokongan yang mencukupi daripada People's Bank of China untuk memastikan bahawa renminbi tidak menyusut secara material.

"Perkara sama terpakai untuk kebanyakan ekonomi Asia lain juga. Kita mahu melihat lebih banyak sokongan daripada bank-bank pusat masing-masing," tambahnya.

Dari segi pertumbuhan ekonomi, Eastspring Investments mengutarakan bahawa banyak ekonomi Asia sebenarnya mencatatkan kedudukan fiskal lebih baik, yang memberikan petanda baik dari segi tinjauan.

Namun, perhatian sekarang ini adalah terhadap China, ekonomi terbesar di Asia.

"Saya merasakan terdapat banyak jangkaan bahawa China akan melonjak kukuh pasca pandemik, dan itu tidak benar-benar terjadi.

"Perkara penting yang perlu diutarakan adalah China tidak berdepan pertumbuhan negatif; ia masih berkembang namun tidak sepantas yang dijangkakan pada awal tahun ini," kata Chong.

Selain China, beliau menyatakan bahawa beberapa negara Asia seperti India, Indonesia dan Filipina merekodkan pertumbuhan yang kukuh.

"Ini adalah pasaran yang terus menerajui Asia ke hadapan dan kita boleh menjangkakan pertumbuhan antara 4.0 hingga 5.0 peratus bagi negara-negara ini," kata Chong. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini