PUTRAJAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan bahawa nilai ringgit adalah ditentukan oleh pasaran, kata Gabenornya, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.
"Kehadiran kami dalam pasaran pertukaran asing hanyalah untuk mengelakkan turun naik yang berlebihan dan untuk memastikan keadaan pasaran yang teratur.
"Kami tidak menyasarkan mana-mana paras tertentu ringgit," katanya pada sesi panel sempena Invest Malaysia New York, baru-baru ini.
Mengulas prestasi mata wang tempatan itu, Abdul Rasheed berkata, walaupun susut nilai pada separuh pertama 2023, ringgit dan beberapa mata wang serantau telah mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak 1 Julai 2023.
Malah, beliau berkata, baru-baru ini, ringgit mengukuh berbanding kebanyakan mata wang rakan perdagangan utama.
"Menuju ke hadapan, kami menjangkakan kejelasan lanjut mengenai penghujung kitaran pengetatan dasar monetari oleh bank pusat utama juga akan memberikan sokongan kepada ringgit dan mata wang pasaran baharu muncul secara amnya," katanya.
Prestasi ringgit hari ini bagaimanapun menyusut nilai berbanding dolar AS apabila sentimen menggalakkan terus menyokong mata wang negara maju itu.
Pada 9.15 pagi ini, mata wang tempatan turun kepada 4.7050/7095 berbanding dolar AS daripada penutupan Selasa 4.6875/6915.
Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata pasaran percaya Rizab Persekutuan (Fed) AS masih akan menaikkan kadar faedah.
Menurut beliau, data Keyakinan Pengguna Lembaga Persidangan AS adalah rendah sedikit pada 103.0 berbanding unjuran 105.5, begitu juga data Jualan Rumah Baharu untuk Ogos yang rendah daripada jangkaan pada 675,000 berbanding unjuran 700,000.
"Walaupun bacaan lebih rendah daripada jangkaan agak negatif untuk dolar AS tetapi memandangkan perbezaannya kecil, pasaran kekal menggalakkan daripada hari sebelumnya," katanya dalam satu nota.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rasheed berkata, menerusi penilaian semasa bank pusat berkenaan, ekonomi Malaysia kekal seimbang, tanpa sebarang ketidakseimbangan besar.
Beliau berkata, inflasi kekal rendah dan stabil, dengan inflasi utama dan teras dijangka menjadi sederhana kepada purata jangka panjangnya.
Katanya, menjelang 2024, pertumbuhan akan terus didorong oleh perbelanjaan domestik yang berdaya tahan disokong oleh pertumbuhan guna tenaga dan gaji yang berterusan.
"Aktiviti pelaburan akan disokong oleh kemajuan berterusan projek infrastruktur berbilang tahun dan pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional yang diumumkan baru-baru ini.
"Keadaan kewangan domestik juga kekal kondusif untuk pengantaraan kewangan dalam keadaan pertumbuhan kredit yang mampan," katanya.
Sementara itu, Abdul Rasheed berkata, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dijangka dapat mempercepat peralihan negara dan membuka peluang pelaburan yang besar.
Beliau berkata, bank pusat beserta dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menumpukan usaha untuk merangka asas bagi ekosistem kewangan hijau yang kondusif bagi membantu peralihan yang adil dan teratur.
"Kita telah membangunkan rangka kerja dan instrumen praktikal seperti perubahan iklim dan taksonomi berasaskan prinsip, panduan sektor dan pengurusan risiko iklim serta dokumen dasar analisis senario sebagai panduan untuk industri dalam membina daya tahan iklim serta keupayaan menyumbang ke arah peralihan.
"Kestabilan makroekonomi, sektor kewangan yang kukuh dan stabil serta institusi penggubal dasar yang kukuh menjadi faktor penting yang menyokong pembangunan ekonomi Malaysia setakat ini," katanya.