Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini apabila peserta pasaran terus mengelak daripada mengambil risiko berikutan prospek ekonomi global yang semakin mencabar, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.6565/6590 berbanding dolar AS daripada 4.6535/6575 pada penutup Isnin.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, beliau percaya ringgit dijangka lemah berbanding dolar AS walaupun terdapat langkah rangsangan yang menggalakkan oleh China.

China telah meningkatkan langkah untuk melonjakkan ekonomi negara yang goyah, dengan bank-bank terkemuka membuka jalan untuk pengurangan selanjutnya dalam kadar pinjaman, termasuk melonggarkan sekatan ke atas pembelian rumah.

"Sementara itu, harga minyak mentah meningkat kerana ahli OPEC+ dijangka mengekalkan bekalan yang ketat untuk menyokong harga. Justeru, hala tujunya agak kabur tetapi satu perkara yang pasti ialah kecenderungan Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk menaikkan kadar faedah akan mengekalkan dolar AS pada paras yang lebih tinggi," kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit dibuka kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding euro kepada 5.0258/0285 daripada 5.0230/0273 pada penutupan dagangan Isnin, lebih rendah berbanding pound kepada 5.8812/8843 daripada 5.8774/8824 tetapi meningkat berbanding yen kepada 3.1781/1802 daripada 3.1786/1818 sebelumnya.

Pada masa sama, ringgit bergerak bercampur-campur berbanding mata wang Asean yang lain.

Nilai mata wang tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4358/4381 daripada 3.4361/4393, lebih tinggi berbanding baht Thai pada 13.1950/2069 daripada 13.2089/2259, tidak berubah berbanding peso

Filipina pada 8.21/8.23 dan rendah berbanding rupiah Indonesia pada 305.4/305.8 daripada 305.2/305.7 sebelumnya. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini