Ringgit dibuka rendah menjelang pengumuman OPR - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Ringgit dibuka rendah menjelang pengumuman OPR


KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan urus niaga rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kerana kebimbangan baharu mengenai inflasi AS menghalang pelabur daripada memasuki pasaran baharu muncul.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.6750/6765 berbanding dolar AS daripada 4.6720/6765 penutup Rabu.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Indeks Dolar AS (DXY) kekal dalam aliran menaik berikutan kebimbangan inflasi, meningkat 0.04 peratus kepada 104.846 mata, manakala harga minyak mentah terus melonjak.

"Terdapat kebimbangan inflasi akan menjadi lebih tinggi dan ini memerlukan dasar monetari sekatan yang berpanjangan.

"Bagi Bank Negara Malaysia (BNM), kami percaya bank pusat mungkin mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) hari ini pada 3.00 peratus kerana keputusan mereka akan berdasarkan kepada keadaan ekonomi domestik, yang dijangka menjadi tunjang pertumbuhan di tengah-tengah permintaan luar yang goyah," katanya kepada Bernama.

Justeru, ringgit dijangka lemah berbanding dolar AS hari ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari dijadual mengeluarkan kenyataannya lewat hari ini.

Namun begitu, mata wang tempatan ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Nilai ringgit meningkat berbanding euro kepada 5.0116/0170 daripada 5.0145/0193 pada penutup Rabu, lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.8405/8467 daripada 5.8657/8713 dan bertambah baik berbanding yen Jepun kepada 3.1637/1673 daripada 3.1694/1727 sebelumnya.

Berbanding mata wang Asean yang lain, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4249/4288 daripada 3.4308/4343 dan meningkat berbanding baht Thai kepada 13.1317/1516 daripada 13.1532/1710 sebelumnya.

Mata wang tempatan bagaimanapun turun berbanding rupiah Indonesia kepada 305.7/306.0 daripada 305.5/305.8 dan rendah berbanding peso Filipina pada 8.21/8.22 daripada 8.20/8.21 pada Rabu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini