Ringgit jatuh kepada RM4.64 sedolar AS pada akhir minggu - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit jatuh kepada RM4.64 sedolar AS pada akhir minggu


KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri minggu ini dengan ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan pelabur kekal dalam sentimen berhati-hati menjelang data pekerjaan utama AS dikeluarkan, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.6445/6485 berbanding dolar AS daripada 4.6365/6405 pada Rabu.

Pasaran ditutup pada Khamis sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata peserta pasaran akan memantau data senarai gaji bukan ladang AS yang akan dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, anggaran konsensus mencatatkan jumlah pekerjaan yang diwujudkan sebanyak 170,000 pada Ogos daripada 187,000 pada bulan sebelumnya, yang bermakna kadar pewujudan pekerjaan sederhana pada tahun ini.

"Bagaimanapun, pasaran dilihat tidak yakin berikutan Rizab Persekutuan AS dijangka mengekalkan pendirian kepada kadar faedah tinggi pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada September," katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali berbanding euro, apabila ia meningkat kepada 5.0388/0432 daripada 5.0482/0526 pada Rabu.

Mata wang tempatan merosot berbanding pound kepada 5.8878/8929 daripada 5.8684/8735 pada Rabu dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.1939/1968 daripada 3.1679/1708.

Pada masa yang sama, ringgit turut diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.4386/4418 daripada 3.4278/4311 pada Rabu dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 304.6/305.1 daripada 304.1/304.6.

Mata wang tempatan susut berbanding baht Thailand kepada 13.2677/2852 daripada 13.2094/2268 pada Rabu dan rendah berbanding peso Filipina kepada 8.21/8.22 daripada 8.17/8.18.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini