Harga minyak hanya akan lepasi AS$100 jika konflik jejas bekalan, pengangkutan - MARC - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak hanya akan lepasi AS$100 jika konflik jejas bekalan, pengangkutan - MARC


KUALA LUMPUR: Harga minyak Brent hanya akan melonjak melepasi AS$100 satu tong jika berlakunya konflik geopolitik yang lebih buruk dan meluas yang menjejaskan bekalan fizikal dan pengangkutan minyak, demikian jangkaan MARC Ratings.

Buat masa ini, ia diunjur berlegar sekitar AS$85 hingga AS$95 setong iaitu pada suku keempat 2023 dan sekitar paras AS$80 hingga AS$100 setong pada tahun hadapan,

Sebaliknya, katanya, masih terdapat risiko penurunan harganya termasuk pengurangan risiko geopolitik, pertumbuhan yang lebih lemah daripada jangkaan di China dan zon euro, di samping peningkatan pengeluaran oleh ahli bukan OPEC dan pengecualian sementara sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas minyak Venezuela.

"Selain itu, pengakhiran pengurangan pengeluaran sukarela yang tidak dijangka oleh Arab Saudi, Russia dan ahli Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan Sekutu (OPEC+) lain juga mungkin memberi tekanan menurun kepada harga minyak," katanya dalam satu kenyataan.

MARC Ratings berkata, landskap tenaga di seluruh dunia kini sedang berdepan interaksi faktor kompleks yang membentuk prospek harga pasaran minyak jangka pendek.

Ia berkata, pihaknya menjangkakan harga minyak akan kekal meningkat untuk baki 2023 dan ke 2024 di tengah-tengah konflik geopolitik yang berterusan di Eropah Timur dan Asia Barat, gangguan bekalan, jangkaan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) global yang stabil pada 2024, dan pergantungan minyak jangka sederhana yang berterusan walaupun dasar alam sekitar berubah.

"Pada masa ini, ketegangan geopolitik global adalah pemangkin utama bagi turun naik tidak menentu jangka pendek dalam harga minyak.

"Konflik Russia-Ukraine yang bermula pada Februari 2022 membawa kepada lonjakan 25 peratus dalam harga minyak Brent, mengakibatkan tempoh kenaikan harga yang berterusan melebihi AS$100 setong selama empat bulan.

"Malah sebelum konflik, harga minyak yang lebih tinggi telah dikaitkan dengan ketegangan yang meningkat di rantau itu sejak pembentukan tentera berhampiran sempadan Russia-Ukraine sejak musim bunga 2021," katanya.

MARC Ratings berkata, konflik Israel-Hamas semasa telah memperkenalkan pelbagai risiko geopolitik yang berpotensi memberi kesan yang lebih besar ke atas harga minyak berbanding Perang Russia-Ukraine.

Katanya, ia berikutan pembabitan pelbagai puak geopolitik, berpotensi meluaskan zon konflik dengan ketara.

Selain itu, tambahnya, ketegangan AS-Iran yang berterusan dan kemungkinan sekatan mungkin boleh menyebabkan niaga hadapan harga minyak mengambil kira risiko yang berkaitan dengan penutupan Selat Hormuz, saluran penghantaran minyak kritikal untuk kira-kira satu perlima daripada minyak dunia.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini