Kelemahan ringgit, konflik Asia Barat pengaruhi Bursa Malaysia - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Kelemahan ringgit, konflik Asia Barat pengaruhi Bursa Malaysia


KUALA LUMPUR: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka mengalami tidak banyak perubahan minggu depan berikutan kelemahan ringgit serta ketegangan yang berlaku di Asia Barat dan tekanan daripada penurunan tidak teratur pasaran bon global.

Ketua Ahli Ekonomi dan Pengurus Dana, Inter-Pacific Asset Management Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata indeks penanda aras itu mungkin bergerak dalam julat kecil 1,430 hingga 1,450 minggu depan dengan kekuatan relatif dalam saham perladangan sebagai penggerak terbesar.

Beliau berkata, walaupun ada kebimbangan baharu mengenai kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dan hasil Perbendaharaan 10 tahun AS mencecah paras tertinggi sejak 2007 (pada Khamis) namun, kenaikan harga minyak mentah dan komoditi lain seperti minyak sawit akan dapat menyokong bursa tempatan.

"Keadaan pasaran, yang masih bergantung kepada laporan mengenai Belanjawan 2024, bagaimanapun kekurangan petunjuk positif yang besar untuk memberikan dorongan belian yang kukuh.

"Sebenarnya, kenaikan FBM KLCI baru-baru ini telah dipacu oleh pembelian semasa harga murah terpilih ke atas saham seperti Bumi Armada, Gamuda dan Malaysian Resources Corporation, manakala kebanyakan saham berada dalam corak meningkat namun mendatar disebabkan beberapa petunjuk yang ada," katanya kepada Bernama.

Nazri Khan berkata, keadaan pasaran boleh berubah dengan mengalami turun naik yang lebih ketara dalam tempoh terdekat kerana sentimen masih lemah.

"Sekiranya paras ini gagal bertahan, paras sokongan purata pergerakan 200 hari adalah pada 1,430 mata. Paras rintangan purata pergerakan 50 hari akan berada pada paras psikologi 1,450, diikuti paras 1,460," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, menjangkakan indeks utama akan kekal dalam fasa tidak banyak berubah, didagangkan dalam julat 1,430 hingga 1,450 minggu depan.

Beliau meletakkan paras rintangan serta-merta pada 1,460 dan sokongan pada 1,430.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, lingkungan pasaran Bursa Malaysia jelas negatif dengan kaunter rugi melebihi dua kali kaunter untung, kebanyakannya disebabkan perkembangan luaran.

Peningkatan jualan juga menyaksikan jumlah dagangan meningkat hampir 20 peratus daripada minggu sebelumnya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 3.1 mata untuk mengakhiri minggu pada 1,441.04 daripada 1,444.14 minggu lalu.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 74.5 mata kepada 10,620.44; Indeks FBMT 100 susut 58.9 mata kepada 10,297.98; Indeks FBM Emas Syariah kurang 65.52 mata kepada 10,859.95; Indeks FBM 70 merosot 240.53 mata kepada 13,972.88, dan Indeks FBM ACE menguncup 15.26 mata kepada 5,129.69.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 73.85 mata kepada 16,190.33; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.05 mata kepada 172.39; manakala Indeks Perladangan meningkat 47.24 mata kepada 6,909.97 dan Indeks Tenaga menambah 3.72 mata kepada 881.08.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 15.76 bilion unit bernilai RM10.5 bilion daripada 15.92 bilion unit bernilai RM9.81 bilion minggu lalu.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 9.46 bilion saham bernilai RM8.98 bilion daripada 10.28 bilion saham bernilai RM8.49 bilion minggu lalu.

Jumlah dagangan waran pula meningkat kepada 1.74 bilion unit bernilai RM208.59 juta daripada 1.57 bilion unit bernilai RM215.29 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 4.49 bilion saham bernilai RM1.28 bilion daripada 3.97 bilion saham bernilai RM1.10 juta sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini