Situasi di Asia Barat penentu prestasi ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Situasi di Asia Barat penentu prestasi ringgit


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka menyaksikan urus niaga yang mendatar minggu depan susulan ketegangan geopolitik berterusan di Asia Barat yang kekal sebagai faktor penentu bagi pasaran mata wang, kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata apa yang menjadi kebimbangan utama bagi peserta pasaran adalah sama ada konflik itu makin meruncing dan menyebabkan peralihan kepada mata wang yang dilihat sebagai selamat.

"Kita masih perlu menunggu untuk melihat sama ada keadaan pasaran menjadi lebih baik, tetapi setakat ini boleh dikatakan ketidaktentuan itu mungkin lebih ketara.

"Berikutan itu, kita menjangkakan pasaran mata wang kekal dalam pergerakan lebih terkawal pada minggu depan," katanya kepada Bernama.

Perkembangan itu akan menyaksikan ringgit diniagakan pada paras RM4.75 hingga RM4.77 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan.

Namun, pada masa sama, Mohd Afzanizam menjangkakan ringgit akan terus mendapat sokongan daripada data makroekonomi terbaharu walaupun dalam senario ketidaktentuan di pasaran mata wang dan permintaan luaran.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan bahawa kadar inflasi di negara ini terus mereda kepada 1.9 peratus pada September 2023.

Kementerian Ekonomi pula menyatakan ekonomi Malaysia dijangka berkembang sederhana pada kadar 3.3 peratus berdasarkan anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2023, berbanding 2.9 peratus pada suku kedua 2023.

Sementara itu, bagi asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS kepada paras 4.7655/7700 daripada 4.7260/7305 seminggu sebelumnya.

Unit tempatan itu juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding pound Britain kepada 5.7777/7831 daripada 5.7615/7670 pada minggu sebelumnya, rendah berbanding euro kepada 5.0462/0510 daripada 4.9760/9807 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.1781/1813 daripada 3.1582/1615.

Prestasi ringgit juga kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN, kecuali mengukuh berbanding rupiah Indonesia pada 300.1/300.7 daripada 301.3/301.7, minggu lalu.

Namun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4731/4767 daripada 3.4522/4559 sebelum ini, rendah berbanding baht Thailand kepada 13.0504/0681 daripada 12.9810/9995 dan turun berbanding peso Filipina kepada 8.38/8.40 daripada 8.32/8.33.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini