Minyak AS$150 setong jika konflik Hamas-Israel memuncak - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Minyak AS$150 setong jika konflik Hamas-Israel memuncak


KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah penanda aras, Brent boleh mencecah sehingga AS$150 setong sekiranya perang antara Hamas dan Israel semakin memuncak, demikian menurut TA Securities.

Firma penyelidikan itu menerusi satu nota pasaran hari ini menjelaskan, seandainya apabila harga minyak mentah Brent meningkat, kerajaan kebiasaannya akan berpotensi mendapat manfaat dari segi hasil.

Katanya, bagi setiap AS$1 kenaikan harga minyak, Malaysia boleh meningkatkan pendapatannya dengan tambahan RM320 juta.

"Pengiraan ini hanya mengambil kira pembolehubah Cukai Pendapatan Petroleum (PITA) dan royalti petroleum.

"Bagaimanapun, apabila kami memperkenalkan satu lagi faktor, iaitu dividen daripada PETRONAS, potensi pendapatan tambahan daripada setiap kenaikan AS$1 dalam harga Brent meningkat kepada hampir RM650 juta," katanya.

Mengenai kesan kenaikan harga minyak terhadap pasaran saham, TA Securities berkata, bagi indeks FBM KLCI, kesan peperangan dan peristiwa berkaitan keganasan adalah lebih bersifat jangka pendek.

Firma penyelidikan itu berkata, jika perang Israel-Hamas dapat dibendung, pergerakan menurun secara mendadak dalam indeks FBM KLCI akan dihadkan kepada antara dua hingga lima peratus dengan paras terendah 9 Jun pada 1,369.41 bertindak sebagai paras sokongan yang kuat.

"Sentimen boleh meningkat selepas serangan, dengan mengandaikan Israel akan lebih bersedia untuk mengambil bahagian dalam rundingan damai selepas menewaskan Hamas.

"Dalam senario sedemikian, sebarang pembetulan dalam FBM KLCI adalah peluang yang baik untuk membeli (saham)," katanya.

Niaga hadapan Brent bagi bulan Disember hari ini mencecah AS$91.21 setong, manakala satu lagi minyak penanda aras di Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) bagi November yang berakhir esok, berada pada AS$88.34 setong.

Harga minyak melonjak kira-kira dua peratus pada sesi dagangan sebelumnya berikutan kebimbangan terhadap gangguan kepada bekalan global selepas Iran mendesak embargo minyak ke atas Israel susulan konflik di Gaza.

Kenaikan itu juga berlaku selepas AS, pengguna minyak terbesar di dunia melaporkan pengeluaran inventori yang lebih besar daripada jangkaan, sehingga menambah kepada isu bekalan yang telahpun terhad.

Reuters melaporkan dengan memetik sumber, Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) tidak bercadang untuk mengambil tindakan segera terhadap desakan Iran, yang juga anggota pakatan pengeluar minyak itu, sekali gus meredakan kebimbangan berhubung potensi gangguan akan berlaku.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini