Ringgit terus jatuh berikutan ketegangan di Semenanjung Gaza - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus jatuh berikutan ketegangan di Semenanjung Gaza


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan penurunannya untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika SYarikat (AS) hari ini kerana pelabur kekal berhati-hati disebabkan ketegangan yang meningkat di Semenanjung Gaza, kata seorang pakar ekonomi.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu jatuh kepada 4.7445/7485 berbanding dolar AS daripada 4.7345/7375 pada penutupan Selasa.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata dolar AS telah memperoleh sokongan penting susulan daripada hasil Perbendaharaan yang lebih tinggi berdasarkan data jualan runcit AS yang positif, naik 0.7 peratus bulan ke bulan pada September.

"Kombinasi hasil AS yang lebih tinggi dan ketegangan yang meningkat di Asia Barat selepas sebuah hospital terkena peluru berpandu yang tidak diketahui asalnya telah mempengaruhi reaksi pasaran kewangan dan menyebabkan urus niaga harian yang suram bagi ringgit," katanya kepada Bernama.

Namun begitu, Innes menyatakan pertumbuhan suku ketiga China yang lebih baik daripada jangkaan telah membantu menstabilkan mata wang tempatan daripada susut nilai selanjutnya.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia lemah berbanding pound Britain kepada 5.7869/7917 daripada 5.7595/7632, jatuh berbanding euro kepada 5.0140/0182 daripada 4.9973/5.0004 dan rendah berbanding yen pada 3.1685/1714 daripada 3.1629/1651 ketika ditutup semalam.

Mata wang tempatan itu juga diniagakan lebih rendah berbanding mata wang ASEAN yang lain.

Ringgit turun berbanding baht Thailand kepada 13.0738/0914 daripada 13.0180/0319 pada penutup semalam dan susut berbanding rupiah Indonesia pada 301.5/302.0 daripada 301.2/301.5 sebelumnya.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4649/4681 daripada 3.4566/4590 pada Selasa dan susut berbanding peso Filipina kepada 8.37/8.38 berbanding 8.34/8.35 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini