Dagang langsung guna ringgit 'Pelan B' tangani kelemahan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagang langsung guna ringgit 'Pelan B' tangani kelemahan


KUALA LUMPUR: Berurus niaga secara langsung menggunakan mata wang tempatan dan mata wang negara rakan dagangan antara 'Pelan B' bagi Malaysia dalam menangani kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) jika situasi itu berterusan, demikian kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, Malaysia sudah menggunakan renminbi dalam urusan perniagaan dengan kini kira-kira 25 peratus, sementara berbelas peratus pula membabitkan mata rupiah Indonesia dan baht Thailand.

"Kita sentiasa ada Pelan B dalam ekonomi. Katalah jika ringgit terus merosot, Plan B kita antaranya ialah satu masa, satu ketika 'pendolarisasi' itu sesuatu yang pasti. Justeru, berniaga menggunakan mata wang tempatan.

"Contohnya, kita dengan renminbi sudah 25 peratus. Kita sudah berbelas peratus dengan Indonesia dan Thailand," katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, langkah 'Pelan B' yang boleh dilaksanakan ialah menggunakan produk tempatan bagi menggantikan barangan import.

Beliau berkata, gantian barangan import dengan produk tempatan boleh dilaksanakan untuk mengelakkan kesan turun naik tidak menentu tukaran asing.

Katanya, langkah itu memerlukan bekalan produk tempatan yang akan menggantikan barangan import, terutama makanan perlu mencukupi.

Jelasnya, ada banyak bahan dalam negara ini yang boleh dibuat makanan ternakan seperti jagung dan bahan buangan sawit bagi menggantikan makanan ternakan yang diimport.

Seterusnya, Ahli Parlimen Pontian itu berkata, menggalakkan rakyat melancong dalam negara dan sambung belajar dalam negara juga adalah antara Pelan B yang boleh dilaksanakan.

Katanya, peningkatan kemasukan pelancong asing ke dalam negara juga akan merancakkan aktiviti dalam negara dan menyokong permintaan untuk ringgit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata, Malaysia berjaya dalam rundingan bersama China, Indonesia dan Thailand untuk menggunakan mata wang tempatan dalam urusan perdagangan agar kedudukan dan kekuatan ringgit dapat kembali kuat dan mengukuh.

Beliau berkata, langkah menggunakan mata wang tempatan dalam urusan dagangan mampu mengurangkan kebergantungan negara kepada dolar AS.


Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini