KUALA LUMPUR: Dedolarisasi atau langkah mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS) sebagai mata wang rizab, medium pertukaran atau unit akaun menjadi pilihan yang boleh dilaksanakan Malaysia.
Profesor Ekonomi Malaysia University of Science and Technology, Dr Geoffrey Williams, berkata langkah itu boleh dilaksanakan memandangkan hanya 11 peratus eksport dan lapan peratus import dengan AS, sekali gus menunjukkan sebahagian besar perdagangan Malaysia bukan dengan negara terbabit.
"Sebaliknya, hampir 30 peratus daripada eksport dan 23 peratus import Malaysia adalah dengan ASEAN dan masing-masing 15 peratus dan 23 peratus untuk eksport dan import adalah dengan China.
"Jadi, hampir 90 peratus atau lebih dagangan bukan dengan AS dan ini bermakna dolar AS tidak diperlukan," katanya kepada BH.
Mengulas lanjut, Williams berkata, selain perdagangan, semua eksport minyak Malaysia didagangkan dalam dolar AS dan banyak perjanjian pelaburan serta kewangan termasuk pembayaran balik hutang adalah dalam mata wang berkenaan.
"Namun, pendedahannya agak rendah kerana kebanyakan hutang kerajaan Malaysia adalah dalam ringgit dan dipegang oleh rakyat," katanya.
Beliau berkata, dedolarisasi boleh dilaksanakan bergantung cara ia dikendalikan dan berdasarkan realiti ekonomi.
"Jika perdagangan boleh dikendalikan dengan lebih baik dalam yuan atau mata wang dua hala lain maka itu akan menjadi satu anjakan.
"Minyak, komoditi dan urus niaga kewangan buat masa ini masih dikuasai dolar AS. Jadi, itu tidak akan berubah dengan cepat," katanya.
Williams berkata, kadar pertukaran dua hala dan perdagangan serantau lebih penting dan peralihan daripada dolar AS tidak akan memudaratkan terlalu banyak jika ia diselaraskan dengan negara Asia lain, terutama ASEAN dan China.
Katanya, sektor minyak dan gas serta komoditi lain, terutama minyak sawit dan urus niaga kewangan akan paling terjejas, manakala perniagaan domestik kurang terjejas dengan pelaksanaan dedolarisasi.
"Terdapat dua senario asas. Yang pertama ialah penggunaan dolar AS secara perlahan akan berkurangan apabila lebih banyak negara menyelesaikan perdagangan dan pelaburan dalam mata wang dua hala.
"Ini akan berterusan apabila BRICS (merujuk kepada Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) dan negara yang lebih kecil bergabung.
"Senario kedua ialah akan ada titik kritis di mana dolar AS kehilangan status mata wang rizab dengan cepat seperti yang berlaku kepada pound sterling selepas Perang Dunia Kedua.
"Terdapat banyak kemungkinan pencetus ini, tetapi sangat spekulatif dan membabitkan krisis besar," katanya.