KUALA LUMPUR: Ahli ekonomi mengesyorkan kerajaan menambah baik rangka kerja dasar dan strategi perdagangan antarabangsa sebagai tindakan menyokong ringgit yang ketika ini terus melemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran (CME), Dr Carmelo Ferlito, berkata kerajaan perlu mempercepatkan idea untuk lebih banyak perjanjian perdagangan bebas dua hala seperti jangkaan daripada rangka kerja Ekonomi MADANI.
Katanya, Malaysia perlu bergerak melangkaui China dari perspektif perdagangan antarabangsa dan membina hubungan lebih kukuh dalam ASEAN sebagai titik permulaan.
"Antara langkah yang boleh dilaksanakan kerajaan untuk menyokong ringgit adalah mempercepatkan pembinaan semula pangkalan pembuatan seperti yang diterjemahkan menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
"Ia supaya Malaysia boleh mempelbagaikan dasar eksportnya, bukan sahaja dari segi geografik, malah aspek produk buatan tempatan yang mempunyai nilai tambah yang lebih tinggi," katanya.
Mengulas lanjut, Ferlito berkata, Malaysia juga perlu meningkatkan ketekalan strategi dasar dan komited negara untuk menarik pelaburan asing.
"Malaysia perlu membina ekosistem bersesuaian untuk memupuk keusahawan domestik dan memihak kepada tumpuan perindustrian bagi memacu kemajuan teknikal," katanya.
Mengenai ringgit, beliau menjelaskan, CME telah mengenal pasti beberapa faktor luaran di sebalik kelemahan mata wang tempatan itu.
"Dolar AS kukuh disebabkan daya tahan ekonomi AS dan peranan penting dolar dalam ketidaktentuan dunia.
"Dolar AS kekal sebagai mata wang rizab pilihan saat detik sukar seperti sekarang dan walaupun semua perbincangan berulang tentang penyahdolarisasi, alternatif yang boleh dipercayai masih belum muncul.
"Prestasi China yang lemah walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) melabelkan prestasi ini sebagai 'lebih lemah daripada jangkaan', namun CME percaya hubungan kukuh Malaysia dengan China kini memberi kesan negatif kepada negara.
"Kesannya lebih kuat terhadap Malaysia kerana pasaran domestik yang kecil," katanya.
Mengenai aspek domestik, Ferlito berkata, banyak mesej bercanggah dari perspektif dasar.
Katanya, kerajaan menyatakan komitmen terhadap disiplin fiskal, tetapi tampil dengan belanjawan terbesar dalam sejarah.
"Ekonomi MADANI nampaknya terbuka kepada ekonomi pasaran, manakala Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pula menunjukkan peranan lebih berat kerajaan.
"Senario ini menyukarkan kerajaan mengenal pasti pelan dasar, manakala dasar monetari tidak akan memberi kesan munasabah kepada mata wang.
"Pada masa sama, kerajaan tidak dapat menyelesaikan cabaran konflik ekonomi global," katanya.