KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan dalam julat 4.13 hingga 4.16 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini, dengan kecenderungan untuk bergerak lebih kukuh selepas melalui pergerakan turun naik minggu lepasketika pasaran menilai semula kemungkinan pengurangan kadar faedah AS pada mesyuarat Disember.
Sepanjang minggu lepas, ringgit susut pada Isnin, Selasa dan Khamis, meningkat pada Rabu, sebelum menutup minggu lepas dengan lebih kukuh walaupun laporan penggajian bukan perladangan AS bagi September mencatatkan 119,000 pekerjaan baharu, melebihi jangkaan pasaran.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata penutupan operasi kerajaan AS selama 41 hari sejak 1 Oktober lalu telah memberikan kejelasan terhadap petunjuk ekonomi, sekali gus mengukuhkan keyakinan pasaran bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) tidak akan menurunkan kadar faedah dalam masa terdekat berdasarkan pergerakan kontrak hadapan.
Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd menjangkakan pembetulan teknikal dengan ringgit berlegar sekitar paras 4.15 minggu ini susulan pendirian berhati-hati Fed menjelang mesyuarat dasar bulan depan. Dalam nota penyelidikannya, bank pelaburan itu berkata ringgit merosot daripada 4.13 pada Jumaat lalu kepada 4.15 pada Isnin, sebelum mencecah 4.16 pada Selasa selepas pasaran menilai semula impak pembukaan semula operasi kerajaan AS dan hala tuju kadar faedah.
Kenanga juga mengekalkan jangkaannya bahawa kadar faedah AS akan diturunkan sebanyak tiga kali lagi pada 2026.
Bagi Malaysia, aliran masuk dana asing yang stabil ke pasaran bon, pemulihan berterusan hasil eksport serta landskap makroekonomi yang kukuh dijangka menyokong pengukuhan ringgit menjelang akhir tahun.
Bagi perbandingan mingguan, ringgit susut berbanding dolar AS apabila ditutup pada 4.1460/1495 berbanding 4.1290/1345 minggu sebelumnya.
Unit tempatan itu bagaimanapun mengukuh berbanding beberapa mata wang utama, termasuk pound Britain pada 5.4143/4188 daripada 5.4313/4385, euro pada 4.7779/7819 daripada 4.7983/8047 dan yen pada 2.6453/6479 daripada 2.6690/6728.
Berbanding mata wang ASEAN, ringgit diniagakan bercampur-campur, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1695/1724 daripada 3.1720/1765 namun susut berbanding rupiah Indonesia kepada 248.0/248.3 daripada 247.1/247.5. Ringgit turut rendah berbanding peso Filipina pada 7.04/7.05 daripada 6.99/7.00 serta susut berbanding baht Thailand kepada 12.7601/7759 daripada 12.7356/7580.



