Konflik Israel-Hamas terus lonjak harga minyak - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Konflik Israel-Hamas terus lonjak harga minyak


NEW DELHI: Harga minyak mentah meningkat menjelang mesyuarat utama bank pusat global minggu ini termasuk Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), selepas pasaran memerhati dengan teliti perkembangan terkini konflik Israel-Hamas.

Niaga hadapan minyak mentah Brent untuk Januari meningkat 36 cent atau 0.4 peratus kepada AS$85.38 setong pada 0040 GMT, selepas susut AS$1.33 pada Selasa.

Niaga hadapan Brent bagi Disember ditutup empat cent lebih rendah kepada AS$87.41 setong bagi tempoh kontrak yang tamat semalam.

Sementara itu, niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS menambah 28 cent atau 0.3 peratus kepada AS$81.30 setong selepas susut AS$1.29 pada sesi dagangan sebelumnya.

"Harga minyak mentah semakin stabil menjelang pengumuman terbitan utama yang dikemaskini oleh Perbendaharaan dan keputusan kadar FOMC," kata Penganalisis Pasaran Kanan OANDA, Edward Moya yang merujuk kepada Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang menetapkan hala tuju dasar monetari AS.

"Risiko geopolitik kekal dan itu nampaknya mengimbangi beberapa tahap pengeluaran dari AS yang menyaksikan inventori minyak mentah meningkat sekitar 1.3 juta tong minggu lalu, manakala stok bahan api susut kira-kira 360,000 tong, demikian menurut data American Petroleum Institute (API) pada Selasa.

Kenaikan kadar faedah yang bertujuan untuk meredakan inflasi boleh memperlahankan pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan permintaan minyak, manakala pemotongan kadar untuk merangsang perbelanjaan boleh meningkatkan penggunaan minyak.

Di Eropah, inflasi bagi Oktober di zon euro berada pada paras terendah dalam tempoh dua tahun, susut kepada 2.9 peratus daripada 4.3 peratus pada September, menurut bacaan Eurostat.

Ia membawa kepada jangkaan Bank Pusat Eropah (ECB) untuk tidak mungkin menaikkan kadar faedah tidak lama lagi.

Bank of England (BOE) pula akan bermesyuarat esok.

Sementara itu, harga minyak mentah Brent diramal mencecah AS$100 setong menjelang Jun apabila stok menyusut dengan perlahan, kata penganalisis Goldman Sachs dalam nota penyelidikan.

Walaupun pasaran kini lebih ketat pada kadar yang sederhana, ia 'mungkin menjadi sangat ketat pada masa depan dengan lebih lanjut', walaupun produktiviti dan trend permintaan minyak juga akan menjadi kritikal, kata penganalisis.

Di Asia Barat, serangan udara Israel ke atas kem pelarian yang padat dengan penduduk di Semenanjung Gaza pada Selasa telah membunuh sekurang-kurangnya 50 rakyat Palestin dan seorang komander Hamas.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, yang akan melawat Israel pada Jumaat, berkata AS dan negara lain sedang melihat 'pelbagai kemungkinan' terhadap masa depan di Semenanjung Gaza jika Hamas tidak terkawal.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini