'Tiada cadangan nak tambat ringgit' - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

'Tiada cadangan nak tambat ringgit'

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang melaksanakan tambatan ringgit dan langkah seiringnya iaitu kawalan pertukaran mata wang asing yang pernah dilakukan ketika negara menghadapi Krisis Kewangan Asia pada 1998.

Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong, berkata pada masa ini ia dilihat bukan penyelesaian yang tepat, berikutan ekonomi dan sistem kewangan Malaysia berada pada kedudukan lebih baik untuk menghadapi turun naik pasaran kewangan global serta pergerakan kadar pertukaran.

"Keduanya, Malaysia akan hilang kebebasan dasar monetari dan perlu mengikut kadar faedah mata wang yang menambat ringgit.

"Contohnya, jika ringgit ditambat dengan dolar Amerika Syarikat (AS) , kita perlu menaikkan kadar faedah selari dengan kadar faedah di AS dan tindakan ini akan memberi tekanan kepada kos pembiayaan lebih tinggi kepada rakyat," katanya menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau bertanya sama ada kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) bercadang menambat nilai ringgit pada satu-satu nilai seperti dilakukan pada 1999 memandangkan kadar ringgit ketika ini rendah berbanding dolar AS.

Chee Keong berkata, selain itu, bagi mengekalkan tambatan, negara akan memerlukan rizab antarabangsa yang besar.

"Jika tidak, kita terpaksa memperkenalkan kembali langkah kawalan modal untuk mencegah dan mengatasi tekanan spekulatif terhadap ringgit.

"Sekiranya langkah kawalan modal ini diperkenalkan sekarang, kesan negatifnya terhadap keyakinan pelabur akan membabitkan kos sangat tinggi dan boleh menjejaskan aliran modal kerana Malaysia mempunyai pasaran modal jauh lebih besar pada hari ini berbanding 1998," katanya.

Susulan itu, beliau berkata, sebagai bank pusat yang bertanggungjawab terhadap kestabilan pasaran kewangan dan mata wang, BNM akan memastikan pelarasan ringgit berada dalam keadaan teratur supaya tidak volatile bagi menangani risiko daripada pergerakan mendadak nilai pertukaran ringgit berbanding dolar AS.

"Kerajaan melalui BNM akan terus mengurus risiko daripada perkembangan domestik dan luaran serta bersedia menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan pasaran lebih teratur," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini