Ringgit berbanding dolar AS ditutup lebih tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit berbanding dolar AS ditutup lebih tinggi


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis pulih selepas dua hari penurunan.

Pada hari ini juga, Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7485/7525 berbanding dolar AS daripada 4.7695/7735 sewaktu ditutup semalam.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit mendapat rangsangan daripada langkah BNM dan dasar itu seharusnya memberikan rangsangan kepada ekonomi.

Beliau berkata, panduan ke hadapan BNM mengulangi bahawa tahap dasar monetari semasa kekal menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa inflasi dan prospek pertumbuhan.

"Memandangkan prospek pertumbuhan menumpu kepada trend dan inflasi kekal tidak berubah, kami menjangka BNM akan mengekalkan OPR pada tiga peratus sepanjang tahun 2024.

"Risiko menaik kepada inflasi dan unjuran kadar dasar BNM pada 2024 boleh datang daripada langkah rasionalisasi subsidi yang lebih agresif daripada jangkaan semasa kami," katanya.

Sewaktu ditutup, mata wang tempatan kebanyakannya diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit merosot berbanding yen Jepun kepada 3.1593/1622 daripada 3.1540/1569 ketika ditutup pada Rabu, turun berbanding euro kepada 5.0448/0491 daripada 5.0313/0356, bagaimanapun meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7860/7909 daripada 5.7897/7946.

Mata wang tempatan turut diniagakan kebanyakan rendah berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit menguncup berbanding dolar Singapura kepada 3.4798/4830 daripada 3.4786/4820 ketika ditutup pada Rabu, berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 299.4/299.8 daripada 299.2/299.6 dan berkurangan berbanding baht Thai kepada 13.2156/2337 daripada 13.1645/1803 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit melonjak berbanding peso Filipina kepada 8.38/8.40 daripada 8.39/8.40 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini