Ringgit dijangka bertambah kukuh minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka bertambah kukuh minggu depan


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mengukuh lagi minggu depan di antara RM4.72 dan RM4.73 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata Ketua Ekonomi dan Kewangan sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata, ringgit mengalami pemulihan selanjutnya berbanding dolar AS pada Jumaat dan sepanjang minggu ini, dengan bank-bank pusat utama dilihat mengekalkan kadar faedah mereka tanpa sebarang perubahan, menandakan kitaran kenaikan kadar faedah mungkin telah mengalami kemuncaknya.

"Persoalan seterusnya ialah berapa lama kadar faedah semasa akan bertahan dan bilakah bank pusat akan mula melonggarkan dasar monetari.

"Jadi ini akan berdasarkan kepada data baharu sebelum sebarang perubahan berlaku. Ringgit juga berada dalam kedudukan terlebih jual untuk beberapa ketika," katanya kepada Bernama.

Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis mengumumkan yang ia telah mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tiga peratus, menandakan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) memilih untuk menahan kenaikan kadar faedah, walaupun ada desakan untuk menaikkan kadar faedah bagi membantu menstabilkan ringgit, yang menghampiri paras terendah 25 tahun berbanding dolar AS.

Kenaikan kadar terakhir adalah pada Mei, apabila bank pusat meningkatkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus.

Sementara itu, Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata beliau menjangkakan kenaikan ringgit akan berlanjutan sebagai respons kepada terhentinya kitaran kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS secara kompromi tetapi kenaikan juga boleh dihadkan oleh kebimbangan terhadap ekonomi domestik dan Eropah.

"Jadi saya menjangkakan ringgit pada 4.7150 hingga 4.7350 dengan cenderung untuk mengukuh disebabkan tindakan yang diambil oleh Fed," katanya.

Sementara itu, bagi asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit mengukuh berbanding dolar AS kepada 4.7265/7320 daripada 4.7750/7800 seminggu sebelumnya selepas BNM mengekalkan yang OPR tidak berubah dalam mesyuarat MPC terakhirnya tahun ini.

Unit tempatan itu juga telah meningkat berbanding kebanyakan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 5.0318/0377 daripada 5.0438/0491 seminggu yang lalu, naik berbanding yen Jepun kepada 3.1445/1484 daripada 3.1827/1862 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7734/7801 daripada 5.7945/8005 pada minggu sebelumnya.

Ringgit bagaimanapun diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN, kecuali berbanding dolar Singapura, iaitu meningkat kepada 3.4713/4756 daripada 3.4867/4906.

Unit tempatan itu susut berbanding rupiah Indonesia kepada 300.5/300.9 daripada 299.5/300.0 minggu lalu, jatuh berbanding peso Filipina kepada 8.42/8.44 daripada 8.38/8.39 dan turun berbanding baht Thailand kepada 13.2332/2553 daripada 13.1808/2008.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini