Ringgit diunjur lebih kukuh RM4.40 sedolar AS tahun depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit diunjur lebih kukuh RM4.40 sedolar AS tahun depan

 


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ke paras RM4.40 sedolar pada 2024, demikian jangkaan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Ahli Lembaga Pemegang Amanah MIER, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, berkata jangkaan pemulihan ekonomi China, perdagangan negara dijangka akan lebih baik, sekali gus akan menjadi faktor menyokong ringgit.

Beliau berkata, kenaikan kadar cukai perkhidmatan kepada 8.0 peratus tahun depan dijangka akan menjana pendapatan tambahan kepada kerajaan, sekali gus meningkatkan kedudukan fiskal negara.

"MIER jangka ringgit akan mengukuh pada 2024 terutama pada separuh kedua. Kami jangka ringgit mengukuh kepada RM4.40 sedolar tahun depan," katanya pada Persidangan Tinjauan Ekonomi Negara (NEOC) anjuran institut itu di sini, hari ini.

Sulaiman berkata, asas ekonomi negara ini kekal utuh berikutan kepelbagaian ekonomi dan mempunyai rizab yang mencukupi serta rangka kerja kawal selia yang baik.

Beliau berkata, kedudukan ekonomi negara pada masa ini berbeza berbanding ketika 1997/1998 dan tiada keperluan melaksanakan tambatan ringgit atau kawalan modal.

Katanya, kerajaan juga dilihat berjaya mengawal inflasi dengan kenaikan inflasi sudah reda dengan berada pada paras 1.8 peratus pada Oktober 2023.

"Pasaran tenaga kerja juga dilihat stabil. Pertumbuhan ekonomi dijangka lebih baik sekitar 4.3 peratus hingga 4.6 peratus pada 2024," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini