Ringgit jatuh menjelang data inflasi di AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit jatuh menjelang data inflasi di AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan peniaga menunggu data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang akan diterbitkan lewat hari ini.

Data IHP itu akan menentukan hala tuju pasaran susulan kenyataan yang cenderung menaikkan kadar faedah oleh Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powel mengenai dasar monetari AS minggu lalu, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.7165/7210 berbanding dolar AS daripada 4.7065/7105 ketika ditutup pada Jumaat.

Pasaran ditutup semalam berikutan cuti gantian Deepavali.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata walaupun pertemuan dijangkakan berlaku antara Presiden AS, Joe Biden dan Presiden China, Xi Jinping di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), ia tidak membawa banyak sokongan untuk ringgit.

"Walaupun data ekonomi AS dijangka agak positif dan tidak dijangka bergerak melebihi konsensus pasaran, pelabur juga sedar sepenuhnya mengenai turun naik inflasi. Namun, jika ia berlaku lebih cepat daripada jangkaan, kita boleh melihat kedua-dua kenaikan kadar Fed secara tiba-tiba pada Disember dan Januari," katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata, harga gas asli Eropah kini menurun, dan berikutan Malaysia adalah pengeksport besar komoditi itu, harga yang rendah boleh memberi kesan negatif kepada marjin ringgit.

Pada penutup dagangan, ringgit turut diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia menyusut berbanding yen kepada 3.1091/1123 daripada 3.1072/1101 ketika ditutup pada Jumaat, merosot berbanding euro kepada 5.0570/0619 daripada 5.0232/0275 sebelumnya, dan menurun berbanding pound kepada 5.8032/8087 daripada 5.7480/7529.

Mata wang tempatan itu ditutup bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN yang lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.4675/4713 daripada 3.4599/4631 Jumaat lalu dan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 300.4/300.9 daripada 299.8/300.2 sebelum itu.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding baht Thai kepada 13.0760/0946 daripada 13.1108/1267 pada penghujung minggu lalu dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.41/8.42.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini