Kadar fleksibel pertukaran ringgit kurangkan impak kejutan luaran - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Kadar fleksibel pertukaran ringgit kurangkan impak kejutan luaran


KUALA LUMPUR: Kadar pertukaran ringgit yang fleksibel memainkan peranan penting dalam mengurangkan impak kejutan luaran terhadap aktiviti ekonomi domestik, kata Kementerian Kewangan (MoF).

Justeru, Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus menguruskan risiko daripada perkembangan domestik dan luaran bagi menangani ketidaktentuan dalam pasaran pertukaran asing serta bersedia untuk menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan pasaran yang teratur.

"BNM sebagai bank pusat yang bertanggungjawab terhadap kestabilan pasaran kewangan dan mata wang akan sentiasa memastikan pelarasan ringgit berada dalam keadaan teratur," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

MoF berkata demikian sebagai menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang ingin mengetahui sama ada ringgit akan terus mengalami tekanan dalam tempoh jangka masa panjang.

Menurut kementerian itu, pemulihan kestabilan pasaran dunia, penambahbaikan sentimen pelabur dan lebihan penerimaan pertukaran wang asing yang dipengaruhi oleh kegiatan teras ekonomi negara dijangka memperkukuhkan nilai ringgit.

"Sebagai sebuah negara perdagangan dan ekonomi yang terbuka, permintaan terhadap ringgit akan terus dipengaruhi oleh faktor-faktor global," katanya.

Mengulas lanjut mengenai faktor yang memberi tekanan kepada mata wang tempatan, kementerian itu berkata penyusutan nilai ringgit yang dialami dalam tempoh terdekat ini sebahagian besarnya didorong oleh perkembangan global, khususnya pengukuhan dolar AS dan ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi China.

Menurutnya, trend penyusutan turut dialami mata wang serantau seperti yen Jepun, baht Thailand, won Korea, renminbi China, dan peso Filipina berbanding dolar AS pada tahun ini.

Sementara itu MoF berkata nilai ringgit telah menyusut sebanyak 7.3 peratus berbanding dolar AS setakat 2 November 2023.

Penyusutan itu adalah sejajar dengan mata wang ASEAN lain seperti baht Thailand yang merosot sebanyak 3.8 peratus, rupiah Indonesia (-1.8 peratus), dolar Singapura (-1.8 peratus) dan peso Filipina (-1.5 peratus).

"Bagi separuh kedua tahun ini pula, walaupun ringgit masih menyusut sebanyak 0.9 peratus berbanding dolar AS, unit tempatan itu mencatatkan prestasi yang lebih baik berbanding negara jiran seperti baht Thailand.

"Di samping itu, kadar pertukaran efektif nominal ringgit (NEER) iaitu indeks yang mengukur prestasi ringgit berbanding mata wang rakan perdagangan utama Malaysia juga menunjukkan kedudukan yang stabil pada suku ketiga 2023 iaitu meningkat sebanyak satu peratus," katanya.

Kementerian Kewangan berkata demikian sebagai menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai perbandingan nilai ringgit berbanding dengan mata wang negara-negara ASEAN.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini