Ringgit susut kepada RM4.67 sedolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit susut kepada RM4.67 sedolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit jatuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ditutup pada Rabu selepas kenaikan baru-baru ini dan selepas minit mesyuarat terakhir Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) menunjukkan bank pusat AS itu akan kekal berhati-hati terhadap pendekatan dasar monetarinya, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.6735/6805 berbanding dolar AS 4.6505/6560 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata beliau percaya kadar faedah AS menghampiri paras kemuncaknya.

"Kita melihat dalam beberapa hari ini ringgit meningkat dengan ketara berikutan kadar inflasi yang perlahan dan kelembapan pasaran buruh (di Amerika Syarikat)," katanya kepada Bernama.

Oleh itu, beliau berkata perbincangan mengenai kemungkinan peralihan pendirian monetari AS pada 2024 meningkat dan terdapat beberapa bank pelaburan membuat spekulasi akan berlaku pengurangan mendadak kadar faedah AS tahun depan.

"Mungkin pasaran agak (tidak pasti) mengenai kadar (pemotongan) kadar faedah (AS) pada masa hadapan. Jadi, mungkin terdapat beberapa pengambilan untung yang berlaku hari ini, mengakibatkan penyusutan nilai mata wang tempatan itu," katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding euro kepada 5.0946/1022 daripada 5.0895/0955 pada Selasa, turun berbanding pound Britain kepada 5.8550/8637 daripada 5.8271/8340 tetapi meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1338/1387 berbanding 3.1467/1504.

Mata wang tempatan itu juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN Asean lain.

Ia sedikit menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 300.0/300.6 daripada 301.1/301.7 tetapi susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4838/4893 daripada 3.4775/4822.

Ringgit juga merosot berbanding baht Thai kepada 13.2702/2957 daripada 13.1989/2201 semalam dan susut berbanding peso Filipina kepada 8.42/8.44 daripada 8.40/8.41 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini