KUALA LUMPUR: Trend pergerakan ringgit pada masa ini dipengaruhi oleh faktor luaran dan impak penyusutan terhadap ekonomi adalah berkadar, kata Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Fraziali Ismail.
Beliau berkata, terdapat tiga faktor utama yang mempengaruhi pergerakan mata wang iaitu peningkatan pantas kadar faedah Amerika Syarikat (AS), pertumbuhan ekonomi China yang lebih perlahan daripada dijangkakan dan pengaliran dana lindung nilai kembali ke AS.
Katanya, faktor berkenaan mempengaruhi sentimen pelabur dan menjejaskan pergerakan mata wang utama lain dan ringgit juga tidak terkecuali.
"Pada masa ini, trend pergerakan ringgit didorong oleh berita atau peristiwa. Kita terperangkap dalam perbezaan kadar faedah.
"Namun, terdapat pandangan kemungkinan situasi sukar itu akan berlalu. Ada jangkaan tiada lagi kenaikan kadar faedah AS," katanya pada Persidangan Tinjauan Ekonomi Negara (NEOC) anjuran Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) di sini, hari ini.
Fraziali berkata, bagi Malaysia, tumpuan adalah memastikan kemampanan ekonomi jangka panjang dengan pelaksanaan pembaharuan struktur ekonomi.
Beliau berkata, adalah penting juga untuk Malaysia meningkatkan pelaburan menuju ke depan.
Pada suku ketiga 2023, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.3 peratus disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.
Perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh pertumbuhan selanjutnya dari segi guna tenaga dan upah, sementara aktiviti pelaburan disokong oleh kemajuan projek berbilang tahun dan pengembangan kapasiti oleh syarikat.
Eksport kekal lembap berikutan kelemahan permintaan luaran yang berpanjangan, namun keadaan itu sebahagiannya diimbangi oleh kemasukan pelancong asing yang kembali pulih.