Ekonomi maju henti naik kadar faedah, Ringgit dijangka pulih - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ekonomi maju henti naik kadar faedah, Ringgit dijangka pulih


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka pulih bersama-sama mata wang pasaran sedang pesat membangun lain sebaik sahaja bank pusat di ekonomi maju selesai menaikkan kadar faedah mereka.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, berkata walaupun ringgit terus melemah tahun ini, paras kadar faedah semasa di Malaysia sudah memadai untuk menyokong ekonomi.

Katanya, beliau percaya kadar faedah semasa pada 3.0 peratus ketika ini adalah agak akomodatif dan sesuai untuk ekonomi pada masa ini.

"Dari segi ringgit, apa yang kita lihat sekarang adalah lebih kepada faktor dan perkembangan luaran. Jadi ia lebih banyak dipengaruhi oleh apa yang berlaku di peringkat global dari segi keadaan monetari yang lebih ketat dan kadar inflasi yang tinggi yang kita lihat di negara maju.

"Jadi ini telah membawa kepada dasar monetari yang lebih tinggi dari segi kadar faedah dalam ekonomi maju, dan itu sebenarnya telah memberi kesan kepada aliran kewangan.

"Apa yang BNM lakukan ialah kita hanya perlu memastikan bahawa pasaran dalam keadaan teratur dan kehadiran kami dalam pasaran adalah untuk memastikan ia boleh berfungsi dengan teratur dan terdapat kecairan yang mencukupi untuk pasaran berfungsi," katanya ketika ditemubual dengan Bloomberg TV pada sidang kemuncak COP28 di Dubai baru-baru ini.

Mata wang tempatan telah merosot kepada hampir RM4.80 berbanding dolar AS pada Oktober, paras paling lemah sejak kemuncak Krisis Kewangan Asia (AFC) pada 1998.

Ia kekal sebagai antara mata wang berprestasi paling lemah dalam kalangan negara Asia yang sedang pesat membangun tahun ini, setelah jatuh kira-kira 6.0 peratus berbanding dolar AS.

Ditanya mengenai cadangan tambatan ringgit, Abdul Rasheed berkata, perkara itu tidak pernah berada dalam rancangan BNM untuk dilaksanakan ketika ini.

"Ia tidak pernah berada dalam rancangan kami (tambatan ringgit). Ini kerana kita berada dalam situasi yang sama sekali berbeza sekarang berbanding sewaktu krisis kewangan Asia.

"Kita bukan berada dalam krisis ketika ini, jika kita lihat dari segi pertumbuhan, kita masih menikmati pertumbuhan yang baik, walaupun ia tidak setinggi sebelum ini, tetapi 4.0 peratus adalah pertumbuhan yang agak munasabah untuk Malaysia.

"Melihat pada inflasi, ia kini juga telah menyederhana. Dari segi (kadar) pengangguran, ia telah menurun daripada 5.3 peratus pada kemuncak semasa pembukaan semula (ekonomi) ketika pandemik, kini ia berada pada paras 3.4 peratus.

"Ia mungkin akan turun kepada 3.3 peratus tidak lama lagi, paras yang sama dengan apa yang kita lihat semasa pra pandemik. Jadi asas (ekonomi) sebenarnya sudah ada jadi kita tidak perlu membuat langkah-langkah tertentu untuk menanganinya, kita mempunyai situasi yang sama sekali berbeza sekarang berbanding ketika krisis kewangan Asia sebelum ini," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini