Perkembangan semasa di AS hadkan kenaikan ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Perkembangan semasa di AS hadkan kenaikan ringgit


KUALA LUMPUR: Pergerakan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang hanya mampu berlegar sekitar RM4.65 hingga RM4.67 disebabkan ketidakpastian berhubung kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed).

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata meskipun pasaran seolah-olah menjangkakan kadar faedah diturunkan pada 2024, namun Fed seperti masih lagi teragak-agak mengiyakan sentimen terbabit.

"Jadi, ini adalah persoalan yang masih lagi menjadi tanda tanya dan sekali gus memberi sokongan kepada nilai dolar AS, selain menjejaskan pergerakan ringgit," katanya kepada BH.

Ditanya sama ada ringgit akan kekal pada corak tepu sedemikian, Mohd Afzanizam berkata, faktor aliran modal pelabur asing di dalam pasaran modal seperti ekuiti dan bon juga memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju nilai ringgit berbanding dolar AS.

"Nisbah pemilikan asing dalam pasaran ekuiti dilihat rendah iaitu pada paras 19.5 peratus setakat September 2023. Nisbah ini pernah mencecah sekitar 28 peratus pada 2012.

"Manakala, nisbah pemilikan asing dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) sekitar 35 peratus pada Oktober 2023 berbanding 51 peratus sekitar 2016.

"Ini bererti, dana asing yang masuk ke pasaran modal Malaysia berkurangan," katanya.

Berdasarkan perkembangan semasa, Mohd Afzanizam berkata sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan reformasi ekonomi dan tatakelola bagi meningkatkan kredibiliti kerajaan dalam mentadbir sumber ekonomi yang terhad bagi mencapai sasaran menjadi sebuah negara maju.

"Seharusnya dasar yang dibentangkan kerajaan mampu meningkatkan keyakinan semua pihak. Justeru, pelaksanaannya perlu diperkasakan memberikan hasil dalam jangka sederhana dan panjang," katanya.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan berkata, sebarang isyarat yang lebih sederhana daripada mesyuarat Fed dijangka dapat memacu ringgit dengan ketara.

Katanya, pelabur juga akan meneliti laporan jualan runcit AS untuk tanda-tanda permintaan pengguna yang semakin perlahan dan angka jualan runcit China untuk mengukur momentum pertumbuhan ekonomi negara.

"Di dalam negara pula, peningkatan dalam pengeluaran perindustrian dan jualan runcit mungkin menyumbang kepada peningkatan ringgit," katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, berkata tinjauan neutral dolar AS-ringgit mungkin berlegar dalam julat RM4.650 hingga RN4.683 minggu ini.

"Bagaimanapun, jika Fed tidak membuat keputusan agresif mungkin mendorong ringgit untuk diniagakan di bawah RM4.600 berbanding dolar AS," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini