Ringgit cenderung untuk menaik minggu ini - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Ringgit cenderung untuk menaik minggu ini


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan dalam mod berhati-hati dengan cenderung untuk menaik berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini menjelang keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai dasar monetarinya.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata tumpuan minggu ini adalah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS pada 12 dan 13 Disember yang akan memutuskan kadar faedah.

"Walaupun kebanyakan ahli ekonomi percaya Fed akan berpegang teguh dengan keputusan kadar faedahnya, angka plot titik yang dinanti-nantikan akan diperiksa dengan penuh teliti.

"Kami melihat mesyuarat FOMC yang akan datang bakal menjadi pemacu utama untuk mengukuhkan alasan bagi pengurangan kadar faedah pada 2024 dan sejauh mana Fed bersedia untuk mengurangkan dasar monetarinya dan seberapa rendah dan seberapa cepat ia boleh dilakukan.

"Sehubungan itu, kami percaya USD-MYR mungkin menguji paras sokongan segeranya pada RM4.6611 minggu ini," katanya kepada Bernama.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata menjelang keputusan Fed minggu ini, ringgit berkemungkinan diniagakan dengan lebih berhati-hati kerana peniaga akan tertanya-tanya tentang jumlah pemotongan kadar faedah yang dibuat oleh Fed pada apa yang dipanggil 'plot titik'.

"Terdapat sedikit risiko memandangkan pasaran sudah menetapkan kadarnya dalam pemotongan 130 mata asas.

"Jika Fed mengekalkan hanya 50 mata asas (potongan) mungkin terdapat terlalu banyak disonans kognitif dan pasaran boleh mematikan risiko dan kembali membeli dolar AS," katanya.​

Kenanga Investment Bank Bhd berkata, sebarang isyarat yang lebih lembut daripada mesyuarat (Fed) dijangka dapat meningkatkan ringgit dengan ketara.

Pelabur juga akan meneliti laporan jualan runcit AS untuk tanda-tanda permintaan pengguna yang semakin perlahan dan angka jualan runcit China untuk mengukur momentum pertumbuhan ekonomi negara, katanya.

"Di dalam negara pula, peningkatan dalam pengeluaran perindustrian dan jualan runcit mungkin menyumbang kepada peningkatan ringgit," tambahnya.

Oleh itu, firma penyelidikan berkenaan berkata tinjauan neutral USD-MYR adalah dijangka dan mungkin berlegar dalam julat 4.650 hingga 4.683 minggu ini.

Bagaimanapun, jika Fed tidak membuat keputusan agresif mungkin mendorong ringgit untuk diniagakan di bawah 4.600 berbanding dolar AS.

Bagi minggu dagangan yang baru berakhir, mata wang tempatan kebanyakannya diniagakan rendah berikutan kelemahan dalam yuan China selepas agensi penarafan Moody's mengurangkan prospek terhadap penarafan kredit kerajaan China kepada negatif.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit menambah nilai berbanding dolar AS kepada 4.6625/6665 daripada 4.6710/6760 pada seminggu sebelumnya.

Unit tempatan diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.​

Ia mengukuh berbanding euro kepada 5.0243/0286 daripada 5.0900/0954 seminggu yang lalu dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8542/8593 daripada 5.9168/9231 pada penutup Jumaat sebelumnya.

Bagaimanapun, mata wang tempatan ditutup lebih rendah berbanding yen Jepun kepada 3.2307/2337 daripada 3.1591/1627 seminggu sebelumnya.

Ringgit juga diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN yang lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4818/4853 daripada 3.4973/5016 pada minggu lepas, lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia pada 300.4/300.8 daripada 301.5/302.1, kukuh berbanding baht Thailand kepada 13.1933/2094 daripada 13.3301/3505 dan naik berbanding Peso Filipina kepada 8.41/8.43 daripada 8.43/8.44 pada penutup Jumaat sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini