Ringgit diniaga lebih kukuh pada penghujung 2023 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit diniaga lebih kukuh pada penghujung 2023


KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri 2023 dengan lebih kukuh selepas berdepan pelbagai tekanan dan turun naik ketara sepanjang tahun sehingga mencecah paras terendahnya dalam tempoh 25 tahun pada 4.7900/7975 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Mata wang tempatan hari ini diniagakan pada paras RM4.59 berbanding dolar AS apabila data ekonomi negara maju itu yang terkini menguatkan lagi harapan kepada pengurangan awal kadar faedahnya.

Walau bagaimanapun, untuk tempoh setahun, prestasi ringgit melemah berbanding dolar AS yang mengukuh sehingga turut menjejaskan mata wang lain di seluruh dunia, khususnya mata wang negara sedang pesat membangun.

Ketua dan Pengarah MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof, berkata keteguhan dolar AS tahun ini adalah disebabkan kenaikan kadar pinjaman yang berterusan di negara itu.

"Ini menyebabkan pelaburan dana di luar kembali ke AS berikutan kadar pinjaman dan pulangan yang lebih tinggi," katanya kepada BH.

Mengenai prestasi ringgit sepanjang tahun ini, beliau berkata sama ada ia menepati jangkaan penganalisis adalah bergantung kepada situasi yang berlaku di AS

"Kami menjangkakan (ringgit) sepatutnya lebih kukuh berdasarkan faktor ekonomi. Kami juga menjangkakan pihak Rizab Persekutuan (Fed) AS akan memberhentikan kenaikan kadar pinjaman mereka lebih awal namun ia lewat dilakukan sehingga suku terakhir.

"Bagaimanapun kita dapat lihat pengukuhan ringgit setiap kali pasaran menjangkakan Fed akan memberhentikan kenaikan kadar pinjaman mereka," katanya.

Berhubung unjuran 2024, beliau menjelaskan, MIDF Research meramalkan ringgit akan lebih kukuh dengan sasaran akhir tahun RM4.20 berbanding dolar AS.

"Kami menjangkakan ringgit akan diniagakan secara purata pada kadar RM4.38 berbanding dolar AS pada 2024. Antara pemangkin adalah pemberhentian kenaikan kadar pinjaman oleh Fed dan terdapat jangkaan yang akan ada pemotongan kepada kadar pinjaman.

"Kami juga menjangkakan pertumbuhan ekonomi negara akan menjadi faktor yang akan memberi pengukuhan kepada ringgit," katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Rakuten Trade, Kenny Yee, berkata prestasi ringgit tahun ini adalah lebih lemah daripada jangkaan dengan secara dasarnya disebabkan perbezaan kadar faedah antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan Fed AS.

"BNM juga 'keberatan' untuk menaikkan kadar faedah tidak seperti negara serantau lain," katanya.

Yee berkata, bagi tahun depan, Rakuten Trade menjangkakan ringgit didagangkan antara 4.40/50 berbanding dolar AS disebabkan trend pelonggaran kadar Fed.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, pula berkata ringgit berkemungkinan akan didagangkan lebih baik tahun depan dengan tinjauan yang optimis, meskipun mata wang tempatan dinilai lebih rendah.

"Walaupun berlalu pemulihan kecil di China, ditambah dengan pemotongan kadar faedah Fed yang mungkin sekitar 100 hingga 125 mata asas pada 2024, ia bakal memperlihatkan dagangan ringgit berbanding dolar AS ke arah RM4.25 menjelang akhir tahun," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini