Ringgit jatuh seiring dengan prestasi mata wang serantau - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit jatuh seiring dengan prestasi mata wang serantau


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini seiring dengan dengan prestasi mata wang serantau dalam persekitaran ketidakpastian mengenai penurunan kadar faedah AS.

Pada 6 petang ini, ringgit berada di paras 4.7280/7350 berbanding dolar AS daripada 4.7265/7290 yang dicatatkan pada akhir urus niaga pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak berubah pada 3.00 peratus adalah sejajar dengan jangkaan kebanyakan pakar ekonomi.

Beliau berkata, berdasarkan kenyataan BNM, OPR berkemungkinan kekal stabil dalam masa terdekat.

"Sehubungan itu, pandangan mengenai masa untuk penurunan kadar faedah AS adalah penting. Nampaknya masa untuk pengurangan kadar faedah kali pertama telah ditolak, membolehkan perbezaan kadar faedah yang luas dengan kadar AS berterusan.

"Ini bermakna melabur dalam aset AS akan memberikan hasil yang lebih baik berbanding dengan melabur dalam aset negara-negara sedang pesat membangun. Ini pada asasnya akan menyebabkan dolar AS kukuh," kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama pada akhir urus niaga.

Unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.2043/2093 daripada 3.1994/2013, turun berbanding pound Britain kepada 6.0343/0433 daripada 6.0159/0191 semalam dan merosot berbanding euro kepada 5.1540/1616 daripada 5.1457/1485 semalam.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.5331/5386 berbanding 3.5283/5304 ketika ditutup pada Selasa dan susut berbanding baht Thailand kepada 13.2493/2745 daripada 13.2395/2521 semalam.

Namun, ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.39/8.41 daripada 8.41/8.42 sebelumnya dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 300.9/301.4 daripada 302.2/302.4.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini