Ringgit kekal rendah selepas unjuran ekonomi kurang memberangsangkan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kekal rendah selepas unjuran ekonomi kurang memberangsangkan


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat yang lebih rendah daripada jangkaan dikeluarkan hari ini.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini berkata, ekonomi Malaysia dijangkakan berkembang pada 3.4 peratus pada suku keempat 2023 berbanding 3.3 peratus pada suku sebelumnya.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.7160/7210 berbanding dolar AS daripada 4.7165/7215 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata unjuran KDNK suku keempat 2023 adalah jauh di bawah jangkaan konsensus sebanyak 4.1 peratus.

Beliau berkata, eksport pada Disember 2023 juga mengecewakan, merosot 10 peratus iaitu lebih daripada unjuran konsensus penguncupan lima peratus.

"Melangkah ke hadapan, sentimen harus berkisar pada masa untuk pengurangan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS)," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan tinggi berbanding euro pada 5.1324/1379 daripada 5.1339/1394 ketika ditutup pada Khamis dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.1871/1907 daripada 3.1903/1939.

Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding pound Britain kepada 5.9822/9886 daripada 5.9782/9845 sebelumnya.

Pada masa sama, mata wang tempatan didagangkan kebanyakannya rendah berbanding mata wang negara ASEAN.

Ia merosot berbanding baht Thai kepada 13.2733/2941 daripada 13.2475/2675 ketika ditutup pada Khamis dan menguncup berbanding dolar Singapura kepada 3.5176/5216 daripada 3.5098/5141.

Ringgit berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 301.9/302.4 daripada 301.8/302.3 bagaimanapun melonjak berbanding peso Filipina kepada 8.43/8.44 daripada 8.45/8.46 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini