Ringgit terus positif, jadi pilihan pelabur - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Ringgit terus positif, jadi pilihan pelabur


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum positifnya untuk ditutup tinggi hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila lebih ramai pelabur kembali beralih kepada mata wang negara sedang pesat membangun berikutan isyarat bercampur-campur daripada ekonomi global, kata para peniaga.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.6400/6440 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6405/6445 pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit lemah pada sesi dagangan awal pagi susut kepada 4.6580 tetapi melantun semula menuju pengakhiran dagangan dengan ditutup pada 4.6400.

"Jelas sekali, pasaran agak bimbang tentang penetapan masa penurunan kadar di AS. Nampaknya ada perbezaan antara apa yang dijangkakan pasaran, iaitu penurunan kadar pada Mac tahun ini dengan apa yang ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) nyatakan dalam minit mesyuarat mereka.

"Justeru, pengumuman indeks harga pengguna (IHP) esok akan dipantau rapat oleh pasaran bagi mendapatkan pengesahan selepas data senarai gaji bukan ladang (NFP) pada Disember (tahun lepas) yang lebih kukuh dari jangkaan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, pada penutup dagangan ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan mengukuh berbanding euro kepada 5.0789/0833 daripada 5.0790/0834 pada Selasa, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.9044/9095 daripada 5.9092/9143 dan menokok berbanding yen Jepun kepada 3.2018/2047 daripada 3.2235/2265.

Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4851/4883 daripada paras penutup 3.4912/4947 pada Selasa dan naik berbanding peso Filipina kepada 8.24/8.25 daripada 8.28/8.29.

Unit tempatan melonjak berbanding rupiah Indonesia kepada 297.9/298.4 daripada 298.9/299.4 dan menambah berbanding baht Thai kepada 13.2598/2777 daripada 13.2737/2928.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini