Bank pusat AS beri bayangan turunkan kadar faedah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Bank pusat AS beri bayangan turunkan kadar faedah


WASHINGTON: Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell, memperakui kekuatan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dengan berkata bahawa kadar faedah telah memuncak dan agak bergerak lebih rendah beberapa bulan akan datang, dengan inflasi terus mencatatkan penurunan selain jangkaan pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan yang mampan.

Powell, yang berucap selepas mesyuarat dasar selama dua hari berakhir, enggan mengisytiharkan kemenangan dalam usaha bank pusat AS itu untuk menangani inflasi.

Namun, beliau memberikan jaminan bahawa ia telah mencapai sasaran ekonomi atau berjanji bahawa pemotongan kadar faedah akan dibuat seawal mesyuarat Fed pada 19 hingga 20 Mac ini, seperti yang diharapkan oleh pelabur menjelang keputusan dasar minggu ini.

"Inflasi masih lagi terlalu tinggi. Proses untuk menurunkannya masih belum terjamin," kata Powell selepas mesyuarat penetapan dasar Fed mengekalkan kadar faedah semalaman penanda aras dalam lingkungan 5.25 peratus hingga 5.50 peratus dan mengumumkan bahawa pemotongan kadar faedah tidak wajar sehingga 'terdapat keyakinan lebih tinggi bahawa inflasi sedang beralih' ke arah sasaran dua peratus bank pusat itu.

Namun, dalam sesi selama 48 minit bersama pemberita, Powell memberikan satu pusingan berita baik mengenai status usaha agresif ke atas inflasi yang dirasakan oleh ramai ahli ekonomi akan mengheret AS ke dalam kemelesetan dan menyebabkan jutaan rakyat akan menganggur dengan kenaikan kadar faedah tertinggi serta terpantas dalam tempoh kira-kira empat dekad.

"Rumusan eksekutif adalah pertumbuhan adalah mantap hingga kukuh ... kadar pengangguran 3.7 peratus menunjukkan bahawa pasaran buruh adalah teguh...Kita mempunyai data inflasi yang baik selama enam bulan dan menjangkakan ia akan berlanjutan," kata Powell.

"Sejujurnya, ini adalah ekonomi yang bagus."

Powell berkata, pemotongan kadar faedah akan dibuat sebaik saja Fed menjadi lebih yakin bahawa inflasi akan terus susut daripada paras yang dikatakan sebagai 'tinggi', sekurang-kurangnya berdasarkan ukuran selama setahun, dengan indeks harga perbelanjaan pengguna peribadi, ukuran utama yang digunakan oleh pembuat dasar, berada pada 2.6 peratus pada Disember lalu berbanding tempoh sama setahun sebelumnya.

Namun, beliau juga memberikan bayangan bahawa ia hanya menunggu masa untuk berlaku.

Inflasi telahpun berada di bawah dua peratus jika diukur dari segi perbandingan tujuh bulan dan Fed telah berjanji akan menurunkan kadar faedah sebelum kadar selama setahun mencapai paras yang disasarkan.

Walaupun kenyataan Powell itu menunjukkan senario ekonomi memberangsangkan dalam tahun pilihan raya presiden yang cenderung ke arah sikap rakyat terhadap inflasi dan gaji, ia memberikan kesan kepada pelabur yang menjangkakan pemotongan kadar faedah akan bermula seawal tujuh minggu dari sekarang.

Saham AS susut selepas kenyataan Powell itu dibuat dan ditutup rendah, manakala dolar AS melonjak berbanding sekumpulan mata wang.

Pulangan Perbendaharaan AS juga mencatatkan penurunan.

"Adalah jelas bahawa Fed tidak tergesa-gesa untuk menurunkan kadar faedah, dengan data inflasi lebih meyakinkan diperlukan bagi memulakan penurunan," kata penganalisis pasaran Pepperstone, Michael Brown.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini