Bursa Malaysia boleh cecah 1,650 mata, ringgit lebih kukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Bursa Malaysia boleh cecah 1,650 mata, ringgit lebih kukuh


KUALA LUMPUR: Bayangan yang diberikan oleh bank pusat Amerika Syarikat (AS) untuk menurunkan kadar faedah pada tahun ini akan mendorong kenaikan indeks penanda aras Bursa Malaysia, FBM KLCI dengan jangkaan mencecah 1,650 mata menjelang akhir 2024 selain mengukuhkan semula nilai ringgit.

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata unjuran itu juga adalah berdasarkan kepada kestabilan politik serta pelaksanaan projek infrastruktur.

Beliau berkata, perkembangan sedemikian akan membolehkan mata wang tempatan yang berada di bawah nilai sebenarnya akan pulih ke paras RM4.50 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini.

"Jika Rizab Persekutuan (Fed) AS memutuskan untuk memotong kadar faedah tahun ini, ia akan menjadi pemangkin utama pasaran saham. Persoalan utama sekarang bila ia akan berlaku dan kuantum pemotongan terbabit.

"Justeru, pasaran saham dijangka terus meruap namun cenderung untuk mencatatkan kenaikan pada tahun ini," katanya kepada BH.

Pengerusi Fed, Jerome Powell, pada satu sidang akhbar selepas mesyuarat dasar bank pusat AS itu selama dua hari memperakui kekuatan ekonomi AS dengan berkata bahawa kadar faedah memuncak dan agak bergerak lebih rendah beberapa bulan akan datang, dengan inflasi terus mencatatkan penurunan selain jangkaan pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan yang mampan.

Powell bagaimanapun enggan mengisytiharkan kemenangan dalam usaha bank pusat AS itu untuk menangani inflasi.

Namun, beliau memberikan jaminan bahawa ia mencapai sasaran ekonomi atau berjanji bahawa pemotongan kadar faedah akan dibuat seawal mesyuarat Fed pada 19 hingga 20 Mac ini, seperti yang diharapkan oleh pelabur menjelang keputusan dasar minggu ini.

"Inflasi masih terlalu tinggi. Proses untuk menurunkannya belum terjamin," kata Powell selepas mesyuarat penetapan dasar Fed mengekalkan kadar faedah semalaman penanda aras dalam lingkungan 5.25 peratus hingga 5.50 peratus dan mengumumkan bahawa pemotongan kadar faedah tidak wajar sehingga 'terdapat keyakinan lebih tinggi bahawa inflasi sedang beralih' ke arah sasaran dua peratus bank pusat itu.

Walau bagaimanapun, dalam sesi selama 48 minit bersama pemberita, Powell memberikan satu pusingan berita baik mengenai status usaha agresif ke atas inflasi yang dirasakan oleh ramai ahli ekonomi akan mengheret AS ke dalam kemelesetan dan menyebabkan jutaan rakyat akan menganggur dengan kenaikan kadar faedah tertinggi serta terpantas dalam tempoh kira-kira empat dekad.

Sementara itu, penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berpendapat keputusan Fed memberi maksud aliran wang pasaran modal akan dikekalkan di bon perbendaharaan AS buat masa ini.

Beliau berkata, ia juga tidak mengalir keluar kepada pasaran saham di AS mahupun pasaran saham di seluruh dunia termasuk Malaysia buat waktu ini yang bermakna, dolar AS akan kekal kukuh dalam masa yang terdekat ini.

Justeru, katanya tidak banyak perubahan dan kesan kepada ringgit mahupun Bursa Malaysia dalam masa yang terdekat ini berikutan pengumuman Fed.

"Bagaimanapun, Fed membayangkan ia tidak akan menaikkan lagi kadar faedahnya yang berada pada 5.25 peratus sehingga kadar inflasi AS berjaya mencapai sasaran dua peratus.

"Kenyataan ini memberikan reaksi positif untuk jangka masa sederhana nanti iaitu kemungkinan kadar faedah akan dipotong juga," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini