KUALA LUMPUR: Pergerakan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bukanlah satu-satunya ukuran dalam menilai prestasi mata wang negara secara keseluruhannya, kata MIDF Research.
Malah, bahagian penyelidikan itu berkata, perbandingan hanya dengan dolar AS saja juga tidak akan memberi gambaran lengkap prestasi ringgit dan prospek menyeluruh keadaan makroekonomi Malaysia.
Pandangan MIDF Research itu berdasarkan pengukuran Indeks Ringgit Berwajaran Dagangan MIDF (MIDF TWRI) yang dibangunkannya untuk mengukur tukaran asing ringgit melangkaui dolar AS.
Indeks itu dibangunkan berdasarkan prestasi tukaran asing ringgit berwajaran dagangan berbanding 16 mata wang rakan dagangan terbesar Malaysia.
Berdasarkan MIDF TWRI itu, pada 2022, ringgit hanya mengalami susut nilai yang kecil sebanyak 0.1 peratus, kurang ketara berbanding penyusutan 5.5 peratus jika diukur dengan ringgit berbanding dolar AS.
"Melihat kepada sumbangan komponen utama kepada perubahan dalam MIDF TWRI pada 2022; dolar Singapura dan dolar AS menyumbang masing-masing kepada -0.8 peratusan mata dan -0.6 peratusan mata.
"Sumbangan negatif, bagaimanapun, diimbangi oleh pengukuhan ringgit berbanding yuan (+0.4 peratus) dan yen (+0.6 peratus), manakala ringgit hampir tidak berubah berbanding euro," katanya dalam nota penyelidikannya.
Mengulas lanjut, MIDF Research berkata, perbezaan drastik sedemikian antara komponen dalam MIDF TWRI adalah disebabkan oleh tahap yang berbeza-beza kesan pandemik terhadap setiap ekonomi dan pasaran mata wang asing.
Contohnya, ia berkata, China adalah ekonomi utama terakhir membuka semula ekonominya pada Januari 2023 berikutan Dasar Sifar COVID yang ketat dengan sekatan dan kawalan pergerakan dilanjutkan sehingga suku keempat 2022.
"Oleh itu, MIDF TWRI menunjukkan bahawa dolar AS sebagai ukuran tunggal prestasi ringgit tidak akan menjadi wakil lengkap prestasi ringgit dan tinjauan makroekonomi keseluruhan Malaysia," katanya.
Sementara itu, MIDF Research berkata, perbezaan antara kadar dasar semalaman (OPR) Malaysia dengan kadar dana Rizab Persekutuan AS (FFR Fed) adalah antara faktor utama yang mempengaruhi trajektori ringgit berbanding dolar AS.
Walau bagaimanapun, tegasnya, ia bukan satu-satunya faktor memandangkan terdapat faktor utama lain yang dipercayai mempengaruhi ringgit.
Katanya, faktor lain itu antaranya termasuk imbangan pembayaran; aliran dana asing, perdagangan luar negara; dasar tukaran asing dan harga komoditi.
"Lebihan akaun semasa Malaysia kepada nisbah keluaran dalam negara kasar (KDNK) merosot kepada 1.7 peratus pada 2023, terendah sejak 1997.
"Nisbah itu berada dalam satu angka sejak 2012 dan di bawah lima peratus selepas 2013. Pelaburan portfolio kekal dalam defisit sejak 2013 kecuali pada 2021.
"Pengaruh yang lebih kuat daripada faktor lain baru-baru ini memperlihatkan pecahan dalam korelasi antara harga komoditi dan ringgit," katanya.
MIDF Research berkata, pada asasnya, ringgit berada dalam kedudukan yang baik untuk mengukuh pada 2024 memandangkan ekonomi domestik kekal pada momentum optimis, harga komoditi global yang menyokong, lebihan perdagangan yang mampan dan kemungkinan pengurangan kadar oleh bank pusat pada tahun ini.
Pihaknya mengunjurkan ringgit berbanding dolar AS mengukuh semula kepada purata RM4.38 dalam 2024 (purata 2023: RM4.56), dan mencecah RM4.20 menjelang akhir tahun (akhir 2023: RM4.59).