Ringgit dalam julat stabil, pelaburan tidak terkesan ketara - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dalam julat stabil, pelaburan tidak terkesan ketara


 KUALA LUMPUR: Ringgit masih berada dalam julat yang stabil dan tidak memberikan kesan ketara kepada pelaburan ke dalam negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, walaupun secara dasarnya kelemahan ringgit akan menarik pelabur asing datang ke Malaysia kerana kos yang lebih murah tetapi ia bukan menjadi faktor utama dalam sesebuah pelaburan.

"Dari sudut ringgit kita berada pada kadar kompetitif, sudah tentu pelaburan akan naik sebab mereka lihat kos lebih rendah. Namun dalam pelaburan, mereka tidak lihat kepada perkara ini kerana ia bukan bermain dalam pasaran saham atau kewangan.

"Untuk melabur itu ia mengambil masa 10 atau 20 tahun... Mereka lihat kepada jangka masa panjang ekonomi. Ia masih lagi faktor, tetapi bukan faktor utama dan mereka tidak lihat kepada penurunan ringgit ini sebagai penilaian utama," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan model kenderaan elektrik (EV) BYD SEAL di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, dari sudut perdagangan dan pelaburan pula, MITI optimis kedua-duanya akan meningkat, sekali gus membantu ekonomi negara dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini.

Beliau berkata, tidak dinafikan memang terdapat kaitan antara kekuatan ringgit dan KDNK, tetapi pada masa yang sama semua pihak juga perlu melihat kepada keadaan ekonomi global.

Katanya, perlu juga dilhat kepada tahap kadar faedah negara lain terutamanya pasaran utama seperti Amerika Syarikat (AS) dalam penentuan kadar faedah dan langkah pengukuhan ekonomi mereka.

"Bagi Malaysia (ringgit) kita akan melihat kepada keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS pada Mac ini, sama ada mereka akan teruskan kekalkan kadar faedahnya ketika ini pada 5.25 hingga 5.50 peratus atau sebaliknya.

"Jika Rizab Persekutuan (Fed) AS turunkan kadar faedah mereka, sudah tentu ia akan dapat membantu ringgit," katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, bagi membolehkan ekonomi negara terus mencapai prestasi pertumbuhan yang lebih tinggi, MITI telah melaksanakan perancangan bagi menilai semula kaedah sasaran pelaburan negara.

Beliau berkata, jika sebelum ini sasaran pelaburan hanya tertumpu kepada nilai dan jumlah projek, tetapi selepas ini ia perlu diubah kepada peratusan pelaburan kepada KDNK.

Ketika ini, pelaburan menyumbang sekitar 22 peratus daripada KDNK dan ia perlu dipertingkatkan kerana pelaburan adalah elemen penting kepada pertumbuhan ekonomi.

"Kena ubah pemikiran selama ini sasaran pelaburan hanya dari nilai dan projek yang dibawa masuk kepada peratusan dari KDNK. Jika sasaran KDNK adalah empat hingga lima peratus, maka sasaran pelaburan kena lebih tinggi daripada peratusan sasaran KDNK.

"Ini bermakna sasaran pelaburan adalah sebanyak 10 peratus bagi memastikan ia menjadi enjin pertumbuhan utama. Kita sudah tidak boleh bergantung kepada perbelanjaan pengguna dan kerajaan. Minggu depan, saya akan bentangkan perkara ini," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini