KUALA LUMPUR: Kejatuhan nilai ringgit ketika ini hanya bersifat sementara dan ia dijangka akan kembali mengukuh kepada 4.20 hingga 4.40 pada tahun ini.
Pengarah Urusan Icapital.biz Bhd (icapital), Tan Teng Boo, berkata nilai ringgit yang melemah ketika ini hanya bersifat sementara kerana faktor struktur yang datang dari luaran.
Katanya, isu mata wang perlu dilihat secara menyeluruh dengan ekonomi keseluruhan termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), eksport dan kestabilan politik.
Malah, katanya, apabila ekonomi China pulih dengan kukuh dan semikonduktor global meningkat, ia akan memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia.
"Ringgit ketika ini terjejas disebabkan faktor luaran seperti kadar faedah Rizab Persekutuan AS. Jika Fed turunkan kadar faedahnya, sudah pasti ringgit akan kukuh.
"Eksport akan terus kukuh kerana Malaysia dalam sektor semikonduktor yang sentiasa mendapat permintaan. Ini akan turut membantu.
"Kestabilan politik, kesinambungan politik yang ada hari ini juga menjadi asas kukuh ringgit.
"Apa yang berlaku pada ringgit ketika ini adalah datang dari faktor luaran, jadi semua pihak perlu lihat fakta dan jangan jadikannya sebagai isu politik," katanya.
Teng Boo berkata, kenyataan Bank Negara Malaysia mengenai ringgit pada masa ini berada di bawah nilai sebenar adalah benar.
Beliau berkata, ini berlaku jika dibandingkan dengan asas dan prospek ekonomi Malaysia yang positif.
Penilaian mata wang katanya adalah subjek yang sangat rumit, seseorang boleh melihatnya secara sempit atau seseorang boleh melihatnya secara holistik.
Tetapi katanya penilaian rendah boleh berterusan untuk jangka masa yang lama, bukan hanya ringgit tetapi bagi banyak mata wang lain.
"Saya rasa penilaian mata wang perlu dilihat secara lebih holistik sama ada negara menikmati lebihan akaun semasa, sama ada negara berdaya saing, sama ada negara mampu menarik kualiti mata wang yang baik dan sebagainya.
"Kemudian jika anda melihatnya secara holistik, itu lebih tepat dalam menilai sama ada mata wang itu melemah berbanding mata wang lain," katanya.
Ringgit diniagakan pada 4.7770/7805 pada 12.32 tengah hari ini selepas dibuka pada 4.7775/7805 berbanding dolar Amerika Syarikat daripada 4.7750/7795 semasa ditutup pada Isnin.