Penurunan ringgit tidak seburuk mata wang serantau lain - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Penurunan ringgit tidak seburuk mata wang serantau lain


KUALA LUMPUR: Penurunan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tidak mendadak sebagaimana mata wang serantau lain seperti won Korea, baht Thailand dan yen Jepun.

Nilai ringgit turun 2.9 peratus bulan ke bulan pada Januari apabila mengakhiri bulan pertama 2024 kepada RM4.733, manakala won Korea jatuh 3.3 peratus, baht Thailand susut 3.7 peratus dan yen Jepun merosot 4.0 peratus.

MIDF Research dalam Laporan Ekonomi Bulanan berkata, melangkah ke hadapan, ia meramalkan ringgit meningkat pada 2024, bergerak ke arah RM4.20 menjelang akhir tahun.

"Ringgit akan disokong perbezaan kadar faedah yang mengecil berikutan jangkaan kadar dana Rizab Persekutuan (Fed) berkurangan berbanding tiada perubahan dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR).

"Peningkatan ringgit juga bakal dipacu kembalinya aliran dana asing dan lebihan akaun semasa yang mampan," katanya.

MIDF Research berkata, ia berpendapat kecenderungan menurun terhadap prospek ringgit mungkin berpunca daripada pengukuhan dolar AS yang berpanjangan disebabkan kelewatan pemotongan kadar oleh Fed, sentimen penghindaran risiko daripada ketegangan geopolitik atau risiko kemelesetan di AS.

"Ringgit tidak dapat meneruskan aliran meningkat dalam tempoh dua bulan terakhir 2023 kerana jangkaan pemotongan kadar oleh Fed semakin pudar terutamanya selepas pelepasan inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP) AS pada 23 Disember yang lebih tinggi daripada jangkaan pada minggu kedua 24 Januari.

"Memandangkan pasaran menolak jangkaan penurunan kadar ke satu masa yang lain, ini mengakibatkan pengukuhan lebih meluas dolar AS kerana Fed dijangka mengekalkan kadar faedah yang tinggi untuk tempoh yang lebih lama," katanya.

Sementara itu, MIDF Research berkata, ekonomi Malaysia dijangka berkembang lebih kukuh kepada 4.7 peratus tahun ini.

Memandangkan indeks utama merosot agak kecil pada Oktober dan November 2023, ia berkata, situasi itu masih menunjukkan momentum pertumbuhan yang lebih baik dalam jangka pendek.

"Buat masa ini, kami mengekalkan unjuran bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang lebih kukuh pada 4.7 peratus tahun ini daripada jangkaan 2023 sebanyak 3.8 peratus.

"Peningkatan dalam pertumbuhan akan disokong oleh pemulihan perdagangan luar, di samping pertumbuhan yang mampan dalam perbelanjaan domestik," katanya.

MIDF Research bagaimanapun berkata, ia memantau potensi risiko penurunan dengan berhati-hati seperti peningkatan ketegangan geopolitik, satu lagi pusingan gangguan bekalan dan perdagangan global, turun naik dalam pasaran komoditi dan kewangan serta dan kemungkinan kemelesetan ekonomi di AS yang boleh menjejaskan permintaan luar Malaysia dan prospek pertumbuhan keseluruhan.

"Di peringkat domestik, kami memantau dengan teliti faktor yang boleh memberi kesan kepada prospek harga, yang mungkin mempengaruhi keseluruhan aktiviti perbelanjaan domestik," katanya.

Mengenai perkembangan inflasi, katanya, BNM menjangkakan inflasi utama dan teras akan kekal sederhana tahun ini.

"Bagaimanapun, risiko inflasi banyak bergantung kepada dasar domestik mengenai subsidi dan perkembangan harga komoditi global.

"Di samping itu, semakan semula tarif utiliti dan subsidi bersasar akan menjejaskan trajektori inflasi terutamanya selepas suku kedua 2024.

"Dengan inflasi yang dipacu permintaan terkawal, kami menjangkakan BNM akan mengekalkan OPR pada paras semasa sepanjang 2024," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini