Ringgit berakhir dengan kukuh minggu ini - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit berakhir dengan kukuh minggu ini


KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri urus niaga minggu ini pada Jumaat dengan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang susut di tengah-tengah sentimen cenderung kepada risiko menjelang pengumuman data penggajian bukan perladangan negara maju itu lewat hari ini, kata ahli ekonomi.

Pada 6 petang, ringgit meningkat ke paras 4.7155/7185 berbanding dolar AS daripada paras 4.7305/7355 yang dicatatkan pada Rabu.

Pasaran ditutup semalam bersempena cuti Hari Wilayah Persekutuan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit mengukuh berbanding dolar AS hari ini walaupun Rizab Persekutuan AS (Fed) bertindak melengahkan keputusan menurunkan kadar faedah utama yang dijangka dilaksanakan pada Jun berbanding Mei depan.

Malah, bank pusat AS itu mengekalkan kadar faedah itu pada 5.5 peratus yang dicapai menerusi mesyuarat dasar monetarinya bagi Januari pada Rabu.

"Walaupun tindakan Fed itu berkemungkinan mengecewakan pasaran, naratif penurunan kadar faedah mereka kekal tidak terjejas dan ini sebaliknya positif bagi mata wang negara-negara sedang pesat membangun, termasuk ringgit," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan itu susut berbanding yen Jepun pada 3.2142/2164 daripada 3.2021/2057 pada akhir urus niaga Rabu, turun berbanding pound Britain kepada 6.0160/0199 daripada 5.9935/9999 serta rendah berbanding euro pada 5.1352/1384 daripada 5.1198/1252.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit juga diniagakan rendah.

Ini termasuk susut berbanding dolar Singapura pada 3.5309/5334 berbanding 3.5302/5342 dan rendah berbanding baht Thailand kepada 13.3735/3873 daripada 13.3321/3511.

Ringgit juga rendah berbanding rupiah Indonesia pada 301.0/301.4 daripada 299.6/300.2 dan susut berbanding peso Filipina pada 8.43/8.44 daripada 8.40/8.41, sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini